Sunday, June 20, 2010

Nostalgia Siri 3 - Clifford, Kuala Kangsar


Monday blues.........malas nak baca buku, nak terkenang zaman sekolah dan sambungan dari kisah sebelum ini........

Tahun 1987 aku dihantar ayah ke Sek. Men. Clifford Kuala Kangsar dan kena tinggal di asrama. Ketika lapor diri, dah seminggu lebih orang lain masuk kelas dan aku bawa dua beg pakaian sambil tercegat depan pejabat sekolah sebab ayah masuk jumpa Pengetua Sekolah, Azidin namanya iaitu kawan lama ayah masa di Maktab Perguruan Sultan Idris.

Tiba-tiba seorang Cikgu lelaki menyapa aku dengan ramahnya, yang kemudiannya aku tahu namanya Cikgu Zaharuddin. Katanya "....tinggal kat hostel ker?". Dengan selambanya aku jawap...."tak.....tinggal kat asrama." Dalam kepala aku, apa la bodohnya cikgu ni, takkan la budak sekolah macam aku nak tinggal kat hotel. Seminggu kemudian masa kat padang barulah aku tahu yang hostel tu nama english bagi asrama hehehehhee.....pastu bila bertembung ngan dia aku jadi malu sendiri. Budak kampung yang hanya tahu melastik burung, main guli, main gelang getah, tengok wayang kungfu, tangkap kura-kura dan hanya tahu bercakap loghat utara kini jauh dari semua itu walaupun abang aku si Amran juga tinggal di asrama di tingkatan 5.

Aku ditempatkan di kelas seni perusahaan dan macam-macam manusia baru yang aku jumpa, cumanya aku lebih rapat dengan kawan-kawan di asrama. Kenakalan yang aku bawa dari kampung masih belum hilang dan pada satu malam bulan puasa aku ditangkap pengawas asrama kerana main mercun kat tingkat 3 tapi tak kena apa-apa sebab Amran senior kat asrama. Suatu hari aku nak sangat balik kampung tapi duit biasiswa dalam bank, jadinya aku curi keluar waktu rehat dan ke bank untuk ambik duit. Malangnya, Cikgu Mustafa, Warden asrama kebetulan ada dalam bank tu. Malamnya selepas solat maghrib di surau, Cikgu Mustafa bangun dan kata "Mana adik Amran?". Aku bangun. "Kamu keluar ke pekan tanpa kebenaran..." dan selepas itu dua pukulan rotan singgah kat bontot aku yang kebetulan tak pakai seluar dalam malam tu di depan semua orang dalam surau, punya la pedih sampai susah nak duduk atas kerusi. Kat dewan makan asrama, Amran nasihat aku dan aku tengok dia sedih dan menangis. Aku insaf sangat lepas tu dan sampai exam SRP tiada apa-apa kontroversi lagi yang aku buat.

Tahun 1988, aku kecewa tak dapat masuk kelas sains. Tahun ni juga pada 6 Ogos ayah jatuh sakit dan masuk Hospital Taiping. Sebulan lebih aku minta cuti dan tunggu ayah di hospital sampai ayah keluar dan balik kampung. Tingkatan 4 ni jugak Amran dah tak ada sebab dapat masuk Matrikulasi di KL. Masa ni, aku mula rasa senangnya pelajaran kat sekolah. Tiap kali exam Pendidikan Islam, Sejarah atau Geografi aku mesti dapat 100%. Cumanya bab nakal kat asrama ni ada la lagi terutama bila Amran dah takda. Sekolah ni penuh dengan pokok mempelam pelbagai jenis, nangka, cempedak dan berpuluh-puluh pokok kelapa. Waktu rehat jer, aku ngan kawan rapat, namanya Asbollah akan pergi ke pokok nangka atau cempedak dan baling buah yang besar-besar kat dahan pokok dengan batu. Dengar bunyinya saja kami dah tau buah tu dah masak ke belum dan malamnya dengan berseluar track suit tanpa baju, aku dan dia menyelinap dari pagar asrama ikut lubang longkang dan pergi panjat buah yang kami dah kenal pasti tu dan menjamu selera dengan geng lain-lain yang dah menunggu di asrama. Ada masa kami kena kejar dengan warden yang semua budak asrama panggil gelarannya Mat Hijau (dah arwah) sebab dia suka sangat pakai baju warna hijau. Satu malam tu kami kena kejar sampai Asbollah terlanggar wayar dan berselirat badan dia dengan kesan luka. Petang jer lepas main kat padang kami panjat pokok kelapa dan tebuk buahnya guna besi bangku. Banyak sungguh pahit manis kat asrama ni yang kalau jumpa kawan-kawan lama sakit perut punya gelak.........cumanya setakat macam-macam tu jer la nakal aku, tak la merapu sangat. Kataku kat bini aku, kalau boleh anak-anak aku, sorang pun aku takmau bagi tinggal asrama, takut ikut perangai aku..............hhehehehehee.

Satu perkara yang aku tak boleh lupa adalah bila satu masa tu aku langsung tak ada duit dan tiba-tiba Cikgu panggil ke pejabat dan bagi satu surat kata aku dapat hadiah sempena hari PIBG sebagai pelajar Pendidikan Islam dan Moral terbaik. Hadiahnya RM100. Punya la aku seronok tak terkira, tapi ada satu budak hostel kawan aku namanya Shazalli kata yang aku takkan lupa sampai bila-bila bila dia tahu aku dapat hadiah tu.........katanya...."aku ingat dunia dah nak kiamat la, orang macam kau pun boleh dapat hadiah tu.....". Hehehehehehehehe, benarlah manusia hanya menilai manusia lain dari segi zahirnya.

Aku bergantung sepenuhnya kepada duit biasiswa sebab ayah dah tak kerja kerana lumpuh. Bila nak keluarkan duit biasiswa, aku akan pakai kasut koyak lama dan tunjuk kat Cikgu kata nak beli kasut baru. Tiap hari aku hanya belanja 30 sen saja waktu rehat, 10 sen air dan 20 sen kuih masak lodeh yang mamak India jual kat kantin. Suatu hari masa tingkatan 5, bila Cikgu kelas, Cikgu Khairuddin namanya berleter panjang pasal yuran SPM yang aku belum bayar dan sentuh pasal mengapa aku ni miskin sangat, maka buat pertama kalinya air mata lelaki aku tumpah...........maka mengertilah aku akan perasaan orang-orang miskin dan hina.

Keputusan SPM keluar dan keputusannya aku dapat 15 agregat dan masa tu kira hebat la tapi aku tak minta ke mana-mana walaupun borang masuk ITM aku dah isi. Kenapa?. Sebabnya ada satu kolum dalam borang tu nak kena tulis dalam bahasa Inggeris kenapa aku nak masuk ITM dan aku taktau sapa yang boleh tolong kat kampung aku untuk isi part tu dan aku tak hantar pun borang permohonan tu. Akhirnya aku masuk tingkatan enam di sekolah yang sama dan masa tingkatan enam, buat pertama kalinya kelas bercampur antara lelaki dan perempuan..........nanti kuceritakan.

Saturday, June 12, 2010

Tok Nab kembali menemui penciptaNya

Hari ini tanggal 12 Jun 2010, jam 1 tengahari waktu UK dan jam 8 malam waktu Malaysia, nenek kesayangan isteriku sebelah emaknya iaitu Tok Nab telah kembali menemui penciptaNya. Pemergian Allahyarmah ini genap 5 tahun 1 bulan selepas suaminya ke rahmatullah terlebih dahulu pada tahun 2005.

9 bulan lalu sebelum ke sini, telah ke terangkan kepada isteriku bahawa inilah antara harga yang perlu dibayar apabila kami memutuskan untuk ke luar negara. Walaupun kematian insan tidak perlu diratapi kerana ia hanya perpindahan daripada dunia sementara ke akhirat yang kekal, perpindahan kepada suatu keadaan yang lebih baik dari yang sedia ada.......namun sebagai insan yang dikurniakan perasaan manusiawi, maka banyak juga airmatanya yang tumpah di bumi Durham ini......

Sepulangnya kami ke tanahair kelak maka tiada lagi kuih karas istimewa buatan tangan Tok Nab yang menjadi kesukaan anak-anakku, tiada lagi  belacan buatannya dan  mungkin tiada lagi pukat burung ruak-ruak terpasang di atas batas sawah yang saban malam ku tunggu itu dan yang tinggal hanyalah cebisan-cebisan kenangan. Bersemadilah Tok Nab dengan tenang dan damai dan semoga Allah SWT menempatkan beliau di kalangan orang-orang yang beriman dan diterima disisiNya. Amin.

Seperkara yang kufikirkan, kematian itu sering menjemput golongan adam terlebih dahulu dan meninggalkan isteri mereka yang akan sering terimbau kenangan ketika bersama dalam meniti hari-hari yang berlalu. Kalau sebelah aku, kedua-dua datukku, datuk-datuk saudara, bapa saudara dan ayahku sendiri telah pergi terlebih dahulu meninggalkan nenek, ibu-ibu saudara dan ibuku sendiri maka sebelah isteriku kedua-dua datuknya, bapa saudaranya pun juga sedemikian. Oleh itu, buat mereka yang masih mempunyai suami tempat bermanja, tempat mengadu dan tempat mencurahkan rasa, sayangi dan hormatilah mereka kerana suasana pasti sangat berbeza tanpa mereka buat selama-lamanya..............

O soul that art rest,
return to thy Lord, well-pleased, well-pleasing,so enter among My servants,
and enter My Garden

( Al-Fajr [89]:27-30).

Thursday, June 3, 2010

Happy Birthday Along

Sempena ulangtahun kelahiran Along yang ke-11, kami buat makan-makan secara kecil-kecilan dan panggil keluarga kawan-kawan Along. Doa aku semoga anak sulungku ini yang kuasuh dengan penuh kasih sayang akan membesar menjadi anak yang soleh, yang berjaya dunia akhirat dan anak yang menyejukkan hati mak dan ayah. Alhamdulillah, setakat umurnya 11 tahun ini, dia anak yang baik......Happy birthday Along......

seperti biasa, kek ciptaan bini aku.....
Moga makbul doa Ustaz Jailani
Bini aku buat laksam ngan nasi goreng cina & nasi goreng kampung

Bumi Durham Menguning

Dalam perjalanan ke pekan Durham singgah sekejap kat ladang bunga rapeseed. Biji bunga rapeseed ini digunakan untuk buat minyak sayuran. Kebanyakan kawasan sekitar Durham sekarang ni banyak dengan bunga-bunga kuning saujana mata memandang ini, indah sekali......

  Biji ni nanti akan dibuat minyak sayuran
Cathederal di tengah Pekan Durham