Sunday, November 22, 2009

Empat tahun pemergian ayah......



Pada 24 November 2005, aku menurunkan jenazah ayah ke liang lahat. Esok, tanggal 24 November 2009 genaplah empat tahun pemergian ayahku ke rahmatullah. Malam ini jam satu pagi waktu United Kingdom, disaat kesejukan malam yang mencengkam, disaat aku dikelilingi buku-buku dan segala kepayahan perjuangan di perantauan, disaat anak-anak dan isteriku lena dibuai mimpi, aku terkenangkan ayahku, maka bergenanglah airmata ini untuk kesekian kalinya. Dia tidak berpangkat dan tidak berharta kerana dia memilih kebenaran sepanjang hidupnya dan tiada apa yang dipesakakan ke atas aku melainkan ketulusan jiwa dan ketabahan dalam menghadapi onak kehidupan.

Dia seorang manusia tabah yang tidak pernah memprotes tentang badai kehidupan yang dilaluinya, datanglah apa saja, dia terima dengan reda. Panjang sungguh kisah kehidupannya yang penuh dengan warna. Dari seorang pelatih guru MPSI, menjadi penjual buku, penjual roti segar Segari, ahli politik, nelayan dan segala macam kerja dilakukannya untuk membesarkan kami anak-anaknya agar menjadi manusia berguna. Dibekalkannya kami bukan dengan harta pusaka, jauh sekali wang berjuta tapi dia manusia istimewa dengan pelbagai cerita dan nasihat serta ilmu agama.

Aku masih ingat ketika kecil ayah akan bawa kami naik motor Lambretta miliknya pergi mandi telaga, pergi gunting rambut dan makan kuih pau di Jalan Belah. Indah sungguh saat itu. Ayah pernah tinggalkan kami lebih tiga bulan kerana ke Pahang hanya dengan hanya naik motosikal lama untuk mencuba mencari penghidupan baru disana kerana perit benar kehidupan kami di kampung ketika itu. Menurut mak, ketika sampai kerumah selepas tiga bulan itu, Abang Chaq, Amran dan aku sedang bermain bawah pokok mangga dengan penuh kudis dibadan dan tidak berbaju seluar.....ayah menangis dan peluk kami dan berkata "ayah takkan tinggalkan hampa lagi.....". Maka benarlah katanya, kami bersama hingga keakhir hayatnya. Ketika kesusahan mencengkam terutama musim tengkujuh dan ayah tak dapat ke laut, selalu ayah berangan-angan dengan kami untuk berhijrah ke Pulau Sayak bagi mencari penghidupan baru dan kami sering terleka dan terpesona dengan cerita-ceritanya. Kisah zaman kanak-kanaknya dengan kawan tiga serangkainya, Paklang Chin dan Cik Ani sangat melekakan kami walau diulang berkali-kali.

Kesusahan bagaimanakah kami ketika itu?. Jawapnya sangat payah mencari sumber kehidupan waktu itu. Pernah ayah jual kelapa yang dipanjat dan disapukan arang ke kedai Muna supaya nampak macam kelapa tua. Belum gugur kebawah, pokok kelapa dipanjat untuk dijual buahnya bagi membeli beras. Pergi ke laut awal dinihari dan pulang lewat petang tapi hanya bawa balik RM10...... Ada suatu hari kami tiga beradik sangat gembira bila ayah ajak naik bot dia ke Kuala Panchor. Sampai dijeti sana, ayah tinggalkan bot dan kami balik ke rumah naik bas. Lama lepas peristiwa itu, barulah aku tahu ayah telah menjual bot kesayangannya itu. Mungkin tuhan sayangkan ayah dan tahun 1988 ayah kena serangan stroke dan tidak lagi bekerja. Kami terus berjuang walau ada suara-suara yang mengesyorkan agar kami tinggalkan saja peluang ke universiti dan bekerja untuk membantu keluarga. Ketika ini adik-adik ayah banyak membantu dan jasa mereka takkan aku lupakan.

Moga ayah diterima disisiNya. Moga denyut nadi ini terus membawa darah perjuangan ayah yang sangat prihatin dengan kesusahan dan kemiskinan manusia lain walau dia sendiri dicengkam kepayahan. Tiap kali aku bawa ayah melawat saudara mara yang sakit, ayah akan menyuarakan kesedihan dengan kata "kesiannya dia.....". Tapi ayah sendiri tak pernah menelan dan minum melalui tekaknya selama 17 tahun. Bersemadilah ayahku dengan legasi yang ditinggalkannya dan anakmu ini akan meneruskan perjuangan yang panjang dan penuh onak duri ini.......

1 comment:

Marina said...

alahai.. sedihnya baca citer ni bila terkenangkan arwah paklong. Masa aku dpt tahu arwah paklong meninggal, aku tergesa2 balik ke kampung Pantai Remis memandu Avanza meredah senja dan malam dan hujan yg turun mencurah2 dengan membawa 3 org anak2 kecil yg menjerit2 dan menangis dlm keta. Semoga arwah paklong ditempatkan di kalangan org-org yg beriman dan dimasukkan ke syurga Allah. Hingga ke hari ni, arwah paklong sentiasa dlm doa aku selepas solat. Tak tau kenapa hanya arwah Paklong tapi mmg aku sayang arwah Paklong.