Tuesday, March 23, 2010

Teater kehidupan


Teater ini bertajuk "Perjalanan Hidup Daku" atau ringkasnya PHD. Pelakonnya cuma seorang, iaitu watak bernama "aku". Pengarah utamanya seorang pengarah terkenal berketurunan Adolf Hitler dan Joseph Stalin dari German bernama Dr. Rabecca Stratling dan Bapak Sutradaranya adalah seorang ahli sufi berketurunan Anwar-el-Sadat dari Mesir bernama Dr. Aly Salama. Teater ini sedang dipentaskan di Durham Business School, Bukit Mill, Durham University UK. Teater ini berkisar kepada watak "aku" yang merantau ke bumi asing bersama keluarganya bagi menerokai lembaran baru dalam helaian-helaian kehidupannya dan bagi merasai kemanisan titisan air ajaib yang dinamakan sebagai "ilmu" kerana watak bernama "aku" tersebut amat menyakini kepada ayat Al-Quran yang bermaksud;

"Dan tidaklah sama orang yang buta dengan orang yang melihat. Dan tidak (pula) sama gelap gulita dengan cahaya, Dan tidak (pula) sama yang teduh dengan yang panas, Dan tidak (pula) sama orang-orang yang hidup dan orang-orang yang mati. Sesungguhnya Allah memberi pendengaran kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan kamu sekali-kali tiada sanggup menjadikan orang yang didalam kubur dapat mendengar.(Fathir:19-22)

Plot cerita ini mengandungi beberapa babak dan semalam, 22 Mac 2010, jam 9.00 pagi, pada giliran pertama, babak pertama teater PHD ini telah dipentaskan di hadapan cerdik pandai manusia berketurunan Socrates, Plato dan Aristotle. Babak kedua akan dipentaskan pada bulan September 2010........ "Aku" yang serba kekurangan amat menyedari bahawa pementasan teater bertajuk PHD ini acapkali dilakonkan di seantero dunia, cuma pelakonnya sahaja yang berbeza. Kadangkala penghujung ceritanya berakhir bahagia dan adakalanya berakhir dengan deraian airmata.....

Setelah usai dan penonton pun beredar, "aku" kelelahan di penjuru pentas dan esoknya satu perbincangan antara "aku", Bapak Sutradara dan Pengarah diadakan di pondok usang di Bukit Mill. Alhamdulilah, semuanya positif dan "aku" memanjatkan kesyukuran kepada ilahi. Seterusnya, bagi memulihkan tenaga mental dan fizikalnya untuk membuka lembaran babak baru yang seterusnya yang ternyata lebih berliku dan mengandungi plot cerita yang lebih mencabar dan mendebarkan, "aku" memutuskan untuk mengembara untuk menghirup manisnya udara alam selama lima hari bersama anak isterinya ke Manchester, Pier Head (Liverpool), Snowdonia National Park (Wales), Birmingham dan Stoke-On-Trent bersama Nissan Almeera kesayangannya bagi menghayati keindahan ciptaan ilahi dan mensyukuri nikmat kehidupan ini............

No comments: