Wednesday, June 17, 2009

Mereka yang tinggal


Toksu - Kurang sihat - lelah. Toksu perempuan dibelakang - pun kurang sihat (bisul dikaki)


Toktam perempuan - Pakar buat kuih tepung talam dan cucur udang. Tiap kali aku balik kampung masti dia buat kuih-kuih tu untuk aku


Toktam lelaki - okay lagi, masih boleh naik motor ke kedai kopi Maideen


Kurang sihat - jantung dan kaki cedera sebab kemalangan basikal (pakai tongkat)

Catatan ini berkaitan dengan asal usul keturunanku. Tujuannya supaya kelak pabila dewasa nanti anak-anakku tahu akan lipatan sejarah keluarga sebelah ayahnya.

Menurut cerita ayah, moyang lelaki kami berasal dari Pagar Ruyung, Minangkabau bernama Tok Khatib Abdullah yang merantau bersama keluarganya dan tiba di Sungai Bakau, Bagan Tiang Pulau Pinang. Beliau merupakan guru agama dan telah mendirikan sebuah masjid di Sungai Bakau yang masih kekal hingga hari ini. Salah seorang anak Tok Khatib Abdullah bernama Ahmad dan salah seorang anak kepada Ahmad bernama Budin atau Tok Budin (generasi pertama). Tok Budin telah ditakdirkan Allah bertemu dan berkahwin dengan Zainah atau Tok Denah. Tok Denah ini pula berketurunan dari Selatan Thailand yang mana ayahnya bernama Tok Gergasi (hehehehe....keturunan musuh Ultraman rupanya aku ni, patut la Cami suka sangat cerita Ultraman)

Tok Budin dan Tok Denah telah melahirkan enam orang anak (5 lelaki seorang perempuan) iaitu Ismail (Tokngah), Rodiah (Tok), Lazim (Wan), Mat Rose (Toktih), Ishak (Tok Tam) dan Ahmad (Toksu). Keenam-enam mereka ini merupakan generasi ke-2 keturunan aku. Akibat keperitan hidup di Sungai Bakau, maka Tok Budin dan Tok Denah pun merantau dan tibalah di Kampung Matang Kerian, Pantai Remis Perak dan meneroka sekeping tanah yang merupakan tapak rumah ayah ketika ini. Tanah sekeping ini kemudiannya dibahagikan kepada 6 bahagian tapak rumah untuk keenam-enam anak Tok Budin tersebut dan tinggallah mereka disitu yang melahirkan pula generasi pewaris seterusnya. Tok Budin bekerja sebagai pelaut (nelayan) dan pekerjaan ini kemudiannya diwarisi kelima-lima anak lelakinya diatas (ada masa akan kuceritakan sejarah hidup mereka sebagai nelayan...)

Masa berlalu detik terus berputar, roda kehidupan terus berjalan........
Lazim atau Wan kemudiannya berkahwin dengan Rafeah (mak kepada mak aku)dan dapat dua anak perempuan iaitu Hazziah dan Salmiah (generasi ke-3). Hazziah meninggal sewaktu kecil dan untuk memudahkan urusan Wan ambil surat beranak Hazziah yang meninggal tu dan gunakan sebagai surat beranak mak aku. Makanya nama mak aku dalam kad pengenalan adalah Hazziah (nama kakaknya) walaupun nama sebenarnya Salmiah. Tarikh lahir sebenar mak pun tiada siapa yang tahu sampai hari ini.

Satu-satunya anak perempuan Tok Budin dan Tok Denah iaitu Rodiah telah berkahwin dengan Saad dan dapat dua anak iaitu ayah aku dan Makngah Che'ah (generasi ke-3). Sewaktu kecil lagi mak aku dan ayah aku yang merupakan sepupu (anak kakak dan anak adik) telah ditunangkan dan kerana berkat ketulusan maufakat orang tua-tua berkahwinlah mereka dan berkekalan hingga keakhir hayat dan lahirlah aku kedunia ini bersama-sama 5 adik-beradik yang lain (5 lelaki seorang perempuan)-generasi ke-4.

Sebahagian dari generasi ke-2 telah meninggal iaitu Tokngah(suami isteri), Tok (suami isteri) dan Wan (suami isteri), manakala Toktih masih ada, cuma isterinya saja yang telah meninggal dunia 4 tahun lalu. Yang masih ada semuanya kurang sihat sebab umurpun dah melebihi 70.

Moral cerita buat isteriku:-

i. Generasi ke-2 keturunan suamimu ini 5 lelaki 1 perempuan. Generasi ke-4 juga 5 lelaki 1 perempuan. Jelaslah, keturunan suamimu ini memang banyak lelaki dan kalau Azie nak anak perempuan juga tunggulah anak kita yang ke-6.

ii. Suamimu ini sebenarnya keturunan alim ulamak sebelah lelaki dan keturunan musuh Ultraman sebelah perempuan(ingat!....Ultraman ada 7 orang).

iii. Umur keturunan suamimu ini panjang-panjang juga (lebih 70 tahun), jadi jaga kesihatan Azie supaya bisa menjaga berak kencing suamimu ini di usia senjanya.

diatas ini adalah gambar-gambar mereka yang masih tinggal.......semoga Allah memberkati hidup mereka.

Friday, June 12, 2009

Hari bersunat


Sebelum naik kereta keklinik.....muka dah saspen


tempoh berpantang....


Along mandi bunga....

Sebelum....
Sempena cuti sekolah baru-baru ni pada 30 Mei 2009 (hari pertama cuti sekolah) bawak Along dan Angah ke Klinik Sulaiman di Temerloh untuk disunatkan. Temujanji dah buat dengan Dr. Halim. Ayah Mertua (Wan) dan Mak Mertua (Tok) ikut sekali. Bini aku tinggal dirumah dan dok siap sedia dengan tali rapia untuk gantung kain diaorang lepas sunat nanti.

Hampir...
Sampai ke klinik aku tengok muka Along ngan Angah dah tak berseri lagi. Nak senyum pun dah tak boleh. Tunggu kat luar bilik doktor dan terdengar ada suara budak menangis. Pastu keluar seorang budak lelaki yang dah disunatkan. Then....."Ammar Safwan!!!....nurse panggil". Aku pun ajak dia masuk......"Along dulu....." katanya. Hampir 2-3 minit diaorang dok bertolak-tolak siapa dulu. Last-last Along masuk dengan muka yang begitu saspen.

Semasa....
Dekat 5 minit untuk tenangkan Along dan akhirmya proses berjalan. Sepanjang proses mulutnya tak berhenti cakap "ayahhhhhhhh.....". Pastu time jahit "sakittttttt.....tak sudah lagi ker". Iskkkk..apa la budak-budak ni, tak macho langsung, aku dulu siap pi duduk sendiri atas batang pisang. Along dah selesai.....dan keluar bilik berkain pelikat dan dengan mata yang masih berkaca.....

Giliran Angah....
"Angah dah tahu!! mama tipu....mama kata tak sakit, sebenarnya sakit...Angah dah dengar Along menangis tadi....Angah taknak sunat!!!!. Itulah ayat pertama si Angah sebaik aku keluar dari bilik doktor. Proses memujuk berjalan, jampi serapah warisan moyang aku hembus diubun-ubunnya. Angah setuju masuk......sekali lagi dia takmau tanggal seluar pulak pastu dia interbiu doktor tu. "Kenapa nak sunat?.....sunat guna apa?...sakit tak? dan macam-macam dia tanya. Last-last bila nak rebahkan dia maka...............Takkkkkkkk nakkkkkkkkkkkkk!!!!!! dia jerit sekuat hati. Pastu dia muntah sampai busuk bilik doktor tu. Punya la kuat dia meronta sampai aku ngan Wan dia tak boleh nak telentangkan. 5 minit berlalu....pujuk, pegang, jampi dibalas dengan mengamuk, meronta, menjerit....last-last doktor tu kata, kalau buat jugak dia takut trauma, makanya tak jadilah Angah bersunat. Tapi dia pakai kain pelikat jugak sebab seluar dan bajunya habis kena muntah.

hehehehe....tipu yerrrrrrr

Sampai rumah.....
Wan angkat Angah yang berkain pelikat seperti orang bersunat ke tempat berbaring dirumah pastu Wan ikat tali kat kainnya (Angah sorok muka dia dalam kain sebab malu dan tension aku dok berleter). Bini aku dok heran kenapa Angah tak menangis dan sekali tu dia gelak jer sedangkan Along masih berkaca matanya. last-last dia selak kain Angah dan jeng...jeng...jeng....tergelak besarlah semua orang. Petang hari ini dan hari-hari berikutnya ramailah penduduk Blok 18, Felda Lakum datang melawat dan setiap kali cerita Angah diulang-ulang. Yang geramnya bila Along menrungut sakit dia siap kata....."Ala..Along ni, itupun sakit. Kan dah besar! tahan la sikit...". Pastu bila orang bagi duit kat Along dia pun mengamuk nak duit jugak padahal tak bersunat pun.

Sekarang ni aku langsung tak boleh cerita kisah Angah pada orang lain depan dia sebab dia akan menangis dan kata "ayah ni asyik malukan Angah jer....citer Angah nangis la....". Kesian pulak rasanya, akupun dulu darjah 3 baru sunat, dia baru darjah satu. Semalam panjat bukit kat Taman Warisan ambik daun jambu batu dan rebus dan siram airnya pada anu si Along bagi cepat hilang bengkak. Sekarang dia dah boleh berlari pun.......