Pementasan babak pertama teater bertajuk "Perjalanan Hidup Daku" atau ringkasnya PHD telah dipentaskan pada 22 Mac 2010 dan pada hari ini, 22 September 2010 iaitu tepat 6 bulan kemudian, pementasan babak kedua teater berkenaan telah diadakan pula di tempat yang sama yakni di pondok usang , Bukit Mill. Bapak Sutradara masih orang sama, yakni seorang ahli sufi berketurunan Anwar-el-Sadat yang dibantu Pengarah Utama, berketurunan Adolf Hitler dan Joseph Stalin. Syukur, kedua-dua mereka masih mahu mengekalkan watak "aku" yang merupakan pelakon utama kepada teater ini.
Kali ini, pada giliran ketiga, babak kedua teater PHD ini telah dipentaskan juga di hadapan cerdik pandai manusia berketurunan Socrates, Plato dan Aristotle. Sebagaimana pada pementasan pertama, "aku" yang serba kekurangan amat menyedari bahawa pementasan teater bertajuk PHD ini acapkali dilakonkan di seantero dunia, cuma pelakonnya sahaja yang berbeza. Kadangkala penghujung ceritanya berakhir bahagia dan adakalanya berakhir dengan deraian airmata.
Watak yang dilakonkan pada kali ini ternyata lebih mencabar dan mampu menggundah gulanakan rutin hidup harian. Ini kerana, kali ini "aku" diminta memainkan watak sebagai banduan akhir yang menantikan hukuman gantung yang akan dilaksanakan oleh seorang Bapak Petanda (The Undertaker) bernama Michael Hou, seorang pahlawan murtad berketurunan Maharani Dowager Cixi (Empress Dowager Cixi) dari Dinasti Qing.
Usai sesi mempertahankan hujah dan pembelaan, maka keputusan bersalah atau tidak akan diketahui 7 hari lagi dan akan dimaklumkan oleh Bapak Petanda kepada Bapak Sutradara dan juga Pengarah Utama. Jika keputusan bersalah diperolehi, maka Bapak Petanda akan melaksanakan tugasannya dan jika sebaliknya, maka "aku" akan menjadi manusia paling bersyukur atas rahmat yang diberi. Sepertimana pada babak pertama, di mana "aku" menjelajahi ke selatan bumi UK seusai pementasan, pada kali ini "aku" yang ternyata amat kepenatan ingin sekali lagi menghirup manisnya udara alam bersama keluarganya bagi mempersiapkan diri untuk watak-watak yang lebih pelbagai di hari muka. Kali ini bumi tuhan di sebuah negara Scandinavia akan kami jelajahi selama empat hari. Oslo, Norway.........