Satu-satunya benda yang tidak boleh bercakap yang amat aku rindui adalah pokok mangga besar di halaman rumah ayahku. Dahannya yang menjulang tinggi meneduhkan halaman rumah dan akar besarnya yang melingkari menjadi tempat pelbagai aktiviti keluarga.
Di bawah teduhannya tempat aku dan adik beradik main menyorok atau polis santri di bulan puasa. Tempat kami memasang pukat untuk mengutip buah yang gugur dan dijual di kampung Cina. Tempat berkumpul adik-beradik dan saudara mara untuk bersembang sambil makan laksami atau sempera (karipap berintikan kelapa parut kegemaran abangku Amran) diwaktu petang. Juga tempat kami main mercun di bulan puasa atau main terup empat ratus bila berkumpul. Bila ayahku buat simen tempat duduk bertingkat untuk menutup akar pokok, bawah pokok ini makin manjadi tempat berkumpul hampir setiap petang. Pernah ketika ada cadangan untuk menebang pokok ini kerana ada orang yang ingin membeli batangnya, aku tidak bersetuju. Mana mungkin wang ringgit dapat ditukar dengan segala kenangan yang tersimpan bersamanya.
Sesungguhnya, saat ini ketika semangat perjuanganku mula bergoncang, aku menjadi amat rindu pada semua itu.......
Tuhanku, Kau teguhkan hati dan iltizamku seteguh pokok mangga itu untukku terus mengharungi baki perjalanan ini. Hanya Kau dan aku yang tahu mengapa jalan ini yang kupilih. Sesungguhnya, aku ingin berbakti kepada anak bangsaku sepertimana pokok mangga ini berbakti kepada keluargaku. Untuk itu aku perlu setinggi dan segagah pokok mangga itu dan inilah jalannya.........
18:41, 16 November 2011, waktu penuh ketenangan ketika sayup-sayup kudengar anak-anak sedang diajar mengaji Al-Quran oleh isteriku ditingkat bawah.