Friday, November 27, 2009

Dunia yang luas.....




Sebelum ke UK kadangkala aku buka bloq atau facebook pelajar-pelajar tajaan Kerajaan terutamanya pelajar peringkat PhD yang bawa keluarga ke sini. Banyak gambar-gambar mereka melancong ke negara lain selain UK seperti Milan, Brussel, Spain, Belanda, Ireland dan sebagainya. Sering aku tertanya; Cukup ke duit yang sponsor bagi sebab siap bawak anak bini bila pi berjalan tu?, Tak ganggu pelajaran ke banyak sangat berjalan ni?, Kenapa gambar diaorang semua muka senyum jer.....senang ker buat PhD nie....

Kini, setelah 3 bulan terjebak ke persekitaran ini barulah aku mengerti.

1. Rupa-rupanya yang diaorang banyak berjalan tu sebab perlu menghadiri persidangan dan seminar dalam bidang masing-masing. Tiap pelajar PhD dimestikan menghadiri persidangan bagi mendapatkan informasi terkini tentang research yang sedang dijalankan. Ada dua keadaan, pertama; sebagai peserta persidangan dan kedua sebagai pembentang kertas kerja. Biasanya universiti hanya membenarkan kita pergi jika kita terpilih untuk membentangkan kertas kerja dalam persidangan/seminar berkenaan. Semua perbelanjaan ditanggung penuh oleh pihak universiti. Jadi mengambil kesempatan berkenaan biasanya student akan bawa keluarga sekali sebab di Europe ini yang paling mahal accomodation. Sebab yang tu dah ditanggung universiti......apa lagi beb...

2. So macamana diaorang buat dengan kos penerbangan. Senang jer.....di sini ada banyak penerbangan tambang murah. Kalau di Malaysia ada Airasia di sini banyak, Ryanair, Easyjet dll. Kosnya rendah jer. Pulak tu selalu ada tawaran "one pound" untuk penerbangan dalam Eropah. Bayangkan dari Leeds, UK ke Barcelona ke Spain (3 jam penerbangan) cuma satu pound pergi dan satu pound balik. Sini kalau dah satu pound tu termasuk semua sekali, airport tax dll. Pendek kata betul-betul satu pound la seorang kosnya. Makanya bila ada offer camtu, student sini booking jer la, tak pergi takper baru rugi satu pound. Tak kira la pergi kerana persidangan atau makan angin.......

3. Di Eropah pulak ada company yang buat business bajet hotel iaitu Travelodge Hotel. Satu malam GBP19 dan selalu pulak bagi diskaun sampai 50%. Bawak la periuk nasik kecik tu naik flight, beras sikit, Brahim dll sebab boleh masak kat dalam hotel ni. Satu family room boleh muat 4-6 orang.

3. Untuk yang takmau susah payah, masuk jer pakej Kelana Convoy. Pemiliknya budak Melayu. Sekali berkonvoi 2 biji bas dan pergi ke lapan negara Eropah (ikut pakej). Makan minum dan penginapan masuk dalam pakej. Khabarnya murah aje pakej-pakejnya. Cara ni senang, naik bas....sampai tempat tertentu kita turun dalam 3-4 jam, ambik gambar apa yang patut pastu jalan lagi. Banyak tempat menarik disinggahnya cam Menara Condong Pisa di Itali, Eiffel Tower (France) dll.

4. Oh ya! kenapa diaorang asyik senyum bila ambik gambar. Rupanya buat PhD ni memang kena senyum, kalau tak boleh gila isin jadinya takpun gila meroyan hehhehehee....so nak release tension pergi la berjalan, luaskan pemandangan, luaskan pemikiran, tengok negeri orang lain, budaya orang lain, cara hidup manusia lain dan syukuri kebesaran Allah yang mencipta kepelbagaian dan keindahan dalam dunia ini. Pengalaman tu penting. Negara Eropah ni ada banyak dan tiap negara tu berbeza dari segi pemandangannya, pembangunan dan budaya terutama negara bekas negara komunis cam Austria, Bulgaria, Prague dll. Gadis-gadisnya pun lebih menarik gitu hehehehe....(ini Along yang tulis). Cam ada kawan aku nama Najib kat sini, dia nie memang adventurous. Sekali ke Eropah dia akan ke 4-5 negara ngan anak bini dan cari apa yang menarik kat negara tu. Dia akan travel ngan train....kadang 12 jam dalam train. Macam-macam cerita, pengalaman, kesedaran yang dia dapat. Menarik tu.....

Sebenarnya ada dua pilihan sepanjang disini. Satu; makan angin habis-habis tahun pertama dan pulun tahun berikutnya atau pulun tahun pertama dan kedua dan makan angin sikit tahun ketiga. Aku camner.....hehehhee biarlah rahsia!!!.....

Tetiba bini aku yang sedang dok masak rendang kambing sempena jamuan Hariraya Aidiladha esok kat Fisher House, Ustinov College datang menjengok apa yang aku tulis ni dan dia kata.." Hai bang, cam nak cari alasan jer nie......! hehehehehe....memang pun, bila lagi. Ingat senang ker bila dah kerja balik Malaysia sesaja nak datang Eropah dan melawat sana sini, tak mungkin. So, apa yang terbentang jangan dilepaskan bak kata pepatah Melayu......rezeki jangan ditolak, maut jangan dicari.

Hari ni Raya Haji, sembahyang kat Ustinov dan makan jamuan nasi Pakistan. Balik singgah town beli petai biji kat kedai Thailand. Balik, bini aku buat sambal tumis petai campur ikan bilis. Makan pulak dengan ikan gelama kering dari Pantai Remis. Aku, Along ngan Angah makan sampai terbelai.....Sekarang bini aku dok masak rendang kambing (aqiqah anak Helmi)untuk jamuan esok.

Sunday, November 22, 2009

Empat tahun pemergian ayah......



Pada 24 November 2005, aku menurunkan jenazah ayah ke liang lahat. Esok, tanggal 24 November 2009 genaplah empat tahun pemergian ayahku ke rahmatullah. Malam ini jam satu pagi waktu United Kingdom, disaat kesejukan malam yang mencengkam, disaat aku dikelilingi buku-buku dan segala kepayahan perjuangan di perantauan, disaat anak-anak dan isteriku lena dibuai mimpi, aku terkenangkan ayahku, maka bergenanglah airmata ini untuk kesekian kalinya. Dia tidak berpangkat dan tidak berharta kerana dia memilih kebenaran sepanjang hidupnya dan tiada apa yang dipesakakan ke atas aku melainkan ketulusan jiwa dan ketabahan dalam menghadapi onak kehidupan.

Dia seorang manusia tabah yang tidak pernah memprotes tentang badai kehidupan yang dilaluinya, datanglah apa saja, dia terima dengan reda. Panjang sungguh kisah kehidupannya yang penuh dengan warna. Dari seorang pelatih guru MPSI, menjadi penjual buku, penjual roti segar Segari, ahli politik, nelayan dan segala macam kerja dilakukannya untuk membesarkan kami anak-anaknya agar menjadi manusia berguna. Dibekalkannya kami bukan dengan harta pusaka, jauh sekali wang berjuta tapi dia manusia istimewa dengan pelbagai cerita dan nasihat serta ilmu agama.

Aku masih ingat ketika kecil ayah akan bawa kami naik motor Lambretta miliknya pergi mandi telaga, pergi gunting rambut dan makan kuih pau di Jalan Belah. Indah sungguh saat itu. Ayah pernah tinggalkan kami lebih tiga bulan kerana ke Pahang hanya dengan hanya naik motosikal lama untuk mencuba mencari penghidupan baru disana kerana perit benar kehidupan kami di kampung ketika itu. Menurut mak, ketika sampai kerumah selepas tiga bulan itu, Abang Chaq, Amran dan aku sedang bermain bawah pokok mangga dengan penuh kudis dibadan dan tidak berbaju seluar.....ayah menangis dan peluk kami dan berkata "ayah takkan tinggalkan hampa lagi.....". Maka benarlah katanya, kami bersama hingga keakhir hayatnya. Ketika kesusahan mencengkam terutama musim tengkujuh dan ayah tak dapat ke laut, selalu ayah berangan-angan dengan kami untuk berhijrah ke Pulau Sayak bagi mencari penghidupan baru dan kami sering terleka dan terpesona dengan cerita-ceritanya. Kisah zaman kanak-kanaknya dengan kawan tiga serangkainya, Paklang Chin dan Cik Ani sangat melekakan kami walau diulang berkali-kali.

Kesusahan bagaimanakah kami ketika itu?. Jawapnya sangat payah mencari sumber kehidupan waktu itu. Pernah ayah jual kelapa yang dipanjat dan disapukan arang ke kedai Muna supaya nampak macam kelapa tua. Belum gugur kebawah, pokok kelapa dipanjat untuk dijual buahnya bagi membeli beras. Pergi ke laut awal dinihari dan pulang lewat petang tapi hanya bawa balik RM10...... Ada suatu hari kami tiga beradik sangat gembira bila ayah ajak naik bot dia ke Kuala Panchor. Sampai dijeti sana, ayah tinggalkan bot dan kami balik ke rumah naik bas. Lama lepas peristiwa itu, barulah aku tahu ayah telah menjual bot kesayangannya itu. Mungkin tuhan sayangkan ayah dan tahun 1988 ayah kena serangan stroke dan tidak lagi bekerja. Kami terus berjuang walau ada suara-suara yang mengesyorkan agar kami tinggalkan saja peluang ke universiti dan bekerja untuk membantu keluarga. Ketika ini adik-adik ayah banyak membantu dan jasa mereka takkan aku lupakan.

Moga ayah diterima disisiNya. Moga denyut nadi ini terus membawa darah perjuangan ayah yang sangat prihatin dengan kesusahan dan kemiskinan manusia lain walau dia sendiri dicengkam kepayahan. Tiap kali aku bawa ayah melawat saudara mara yang sakit, ayah akan menyuarakan kesedihan dengan kata "kesiannya dia.....". Tapi ayah sendiri tak pernah menelan dan minum melalui tekaknya selama 17 tahun. Bersemadilah ayahku dengan legasi yang ditinggalkannya dan anakmu ini akan meneruskan perjuangan yang panjang dan penuh onak duri ini.......

Saturday, November 14, 2009

Melayu dan petai...

Satu hari tu aku bawa bini aku ke farmasi kat Coxhoe, lebih kurang 15 minit dari rumah. Kami sembang la dalam farmasi tu, tetiba jer ada satu minah ni tanya "are you Malaysian?".....aku pun jawap la "yes, we are". Pastu bersembang la kat situ dekat 30 minit, memula aku ingat dia ni minah Indon, rupanya anak mami Penang. Dia ni dah 30 tahun duduk UK sebab menikah ngan orang putih, namanya Maria.

Minggu berikutnya kami ke Fish Quay, Sunderland dan beli ikan Haddock (sekilo GBP2.5), aku beli seekor 3 kilo lebih, beli udang sekilo dan jugak ikan sebelah, bekalan untuk sebulan. Patut la orang sini suka makan ikan sebelah, rasanya bukan macam ikan sebelah Malaysia, sini sedap betul rasanya tambah kalau goreng. Sekarang aku main beli jer apa-apa pun sebab takde dah nak convert-convert dengan duit Malaysia. Habis beli ikan bawak anak-anak makan Mcdonald kat pekan Sunderland (fish burger dan chips). Nak balik rumah teringat Maria ni, so aku bawak la anak bini pi berjalan rumah Maria lepas call dia mintak panduan jalan. Dia tinggal kat sebuah banglo kecik dengan laki mat saleh dia, dia ni suka gardening, cantik landskap sekitar rumah dia.

Ceritanya, dia ni kawin ngan mat saleh ni tahun 70an, time tu mat saleh ni jadi manager kilang kat Penang. Selama 30 tahun ni, ada la dua kali dia balik Malaysia. Anak dia tiga orang, dua lelaki satu pompuan. Cucu pun ada tiga dan sekor pun takde rupa Melayu. Yang sedihnya dia ni rasanya dah terikut dengan budaya mat saleh sini, cakap Melayu pun macam budak baru belajar nak bercakap. Pulak tu sejak datang ke UK 30 tahun lalu dia tak pernah jumpa orang Melayu, rasanya dia yang tak usaha cari orang Melayu kot, tapi yang peliknya tiap minggu dia pegi beli petai kat Newcastle sebab katanya dia memang tak boleh kalau tak makan petai. Makanya aku namakan posting ni 'Melayu dan petai...." mengambil sempena lawatan kami ke rumah Maria. Dia bagi anak-anak aku mainan sorang satu yang dia display kat rumah dia. Suka tak kira la diaorang. Sebab syok dapat mainan percuma, Si Cami asyik kata...."ayah, nanti kita pergi rumah Maria lagi tau...", gamaknya dia ingat Maria ni penjual mainan kat carboot kot hehhehe...

Cuaca dah mula tak menentu. Kadang hujan, kadang ada matahari. Ada masa waktu pagi aku kena kikis frost kat atas cermin kereta dulu sebab melekat banyak. Semalam sebelah South West (Bristol,Bath, Cornwall, Devon, Dorset, Gloucestershire dll) dilanda angin kencang (70 batu sejam). Kat Durham okay jer. Hantar kereta servis hari ni, kena GBP25 (minyak hitam dengan oil filter beli sendiri). Semalam ke rumah Syahmi (PhD student dari Bank Negara) dengan Najib. Mak oi banyaknya dia beli limed oak display cabinet. Cantik pulak tu dia penuhkan dengan Royal Albert Old Country Roses didalamnya. Tergugat iman aku, kalau aku cerita kat bini aku nie sure dia pun teringin ni......takper, sabaq-sabaq, datang nak belajar kata hati aku.....bukan kata bini aku!


Inilah rumah Auntie Maria....

Baju merah...Maria kesukaan Cami...


Frost pertama tahun ni....

Terlupa nak masuk gambar ni dalam posting lepas. Ini la antara hantu mat saleh pada malam Holloween yang datang rumah kami, yang berjaya aku tangkap gambarnya. Esoknya dia kata kat Along sepanjang dia rayakan Holloween ni la kali pertama orang bawak masuk dalam rumah dan ambik gambar......