Thursday, September 22, 2011

Durham Town

Inilah bandar Durham yang hampir setiap minggu aku kunjungi. Tak pernah jemu aku menyaksikan pelbagai gelagat manusia di hadapan Market Hall mahupun pemuzik jalanan di atas jambatan berhampiran Van Mildert juga The Gates. Sebutan untuk Durham adalah (play /ˈdʌrəm/, locally /ˈdʊrəm/) yang bermaksud hill on an island. Sebuah bandar lama zaman medieval yang terletak di North East, England dan hanya 30 minit dari Newcastle tetapi 4.5 jam perjalanan dengan kereta dari London. Durham Castle yang terkenal dibina pada tahun 1072 oleh bangsa Norman yang menjajah ketika itu dan kebanyakan bangunan lama adalah berhampiran sungai besar yang merentasi tengah bandar ini. Sungai yang menjadi tempat pelbagai aktiviti air oleh pelajar universiti yang juga akan membeku jika terlalu sejuk di musim winter seperti pada tahun lalu. Mr. Bean juga dilahirkan di Consett, County Durham iaitu kira-kira 20 minit dari pusat bandar.

Penghuni bandar ini adalah orang tempatan (english) dan sangat sedikit orang lain kecuali pelajar Durham university dari serata dunia. Aku suka bandar Durham kerana ianya sangat rilex dan masa terasa bergerak amat perlahan bila ke sini. Mungkin kerana tiada orang yang terburu-buru dan mereka suka menikmati pemandangan. Amat sukar untuk aku jelaskan namun yang pasti aku akan merindui bandar ini kelak walaupun perjalanan ini masih jauh.        

Wednesday, September 14, 2011

Zuriat ke-4


Jam 9 malam, Ahad 4 September 2011 isteriku masuk Wad 8 untuk proses bersalin. Esoknya jam 9.30 pagi mula masuk air dan tepat jam 1.50 tengahari lahirlah zuriat keempatku. Juga seorang anak lelaki dan genaplah kini pengusung penjuru keempat keranda jenazah kami suami isteri kelak, insyaAllah. 
Tidak seperti ramalan doktor bahawa beratnya hanya 2.4 kg berdasarkan scan, anak ini yang kunamakan Ajmal Danial seberat 2.96 kg. Sempurna fizikal dan mentalnya, alhamdulilah. Terasa sangat kekok  bagi isteriku dan aku sendiri untuk memangku Ajmal mungkin kerana hampir 7 tahun kami tidak mempunyai anak kecil. 

Jika anak-anak yang lain aku hanya goyang kaki sebab mak dan ayah mertua yang uruskan segalanya, kali ini baru kutahu rasa sibuknya. Rutinku berubah serta merta. Yang paling gembira adalah abang-abangnya. Sehingga aku menulis ini iaitu hampir 10 hari usia Ajmal, abang-abangnya Along, Angah dan Cami tetap setia disisinya. Paling aku takut kalau ditemani Cami bersendirian kerana pernah dia buat kubu dari bantal mengelilingi adiknya, nasib baik tak terbalik bantal itu. Pernah juga topi adiknya terjatuh dan dia sarungkan balik tetapi sampai tertutup mata si Ajmal. Yang paling aku tak tahan dengan Cami ni bila Ajmal tidur lena pun dia tetap akan tepuk-tepuk sambil mulutnya syhhhh...syhhhhhhhhhhhh. Jakun sungguh orang lama takdak adik ni.

Aidilfitri 2011

Ustinov College, Howland Farms selepas sembahyang hariraya

Tahun ini aidilfitri jatuh pada Selasa, 30 Ogos 2011. Ini kali ke-3 kami sekeluarga menyambut aidilfitri jauh di perantauan. Sebagaimana tahun-tahun lalu, jam 12 malam waktu UK yakni pagi raya waktu Malaysia isteriku mula mendail mak ayahnya dan sebagaimana biasanya bumi Durham mula bergenangan. Kemudian aku sendiri bercakap dengan mak dan seperti sebelumnya mak menangis bila aku  memohon ampun dan maaf dan sesungguhnya hanya Allah sahaja yang tahu perasaan aku dikala itu, suatu rasa kesayuan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.......

Aidilfitri 2011 jatuh dipermulaan musim luruh yang amat indah
Jam 8.30 pagi kami ke Ustinov College di Howland Farms untuk bersembahyang sunat hariraya. Habis sesi bergambar bersama rakan-rakan kami balik ke rumah sebab jam 3 petang isteriku ada temujanji dihospital untuk scan dan diikuti sesi dengan Dr. Marsden, doktor pakar di North Durham Hospital University. Petang ini juga ada majlis sambutan aidilfitri warga melayu Durham di Common Room, Keenan House. Kami hantar anak-anak ke majlis sambutan terlebih dahulu kecuali Cami yang ikut aku ke hospital.

Perkhabaran mengejutkan bahawa isteriku kena masuk wad esok jam 11.30 pagi kerana kandungan agak kecil dan air kandungan semakin susut. Kami kembali ke majlis sambutan yang begitu meriah tahun ini walaupun sedikit sebanyak perasaan berdebar dan bercelaru mula terasa. Menu kami tahun ini seperti tahun lalu lemang dan rendang ayam.

Dan esoknya selama dua malam isteriku di wad 10 hospital. Habis lebam-lebam pehanya dengan beberapa suntikan termasuk suntikan steroid yang amat menyakitkan. Berjuraian airmata isteriku bila kena suntikan ini tapi aku katakan demi anak terakhir kami, bersabarlah. Hari jumaat jam 12 tengahari ada sekali lagi scan dan kali ini doktor maklumkan bahawa anak kami perlu dilahirkan lebih awal iaitu pada hari isnin yakni dua minggu lebih awal dari tarikh sepatutnya. Yang lebih membuatkan isteriku hilang selera makan adalah kelahiran adalah secara paksa (induce). Pengalaman melahirkan Angah dengan cara yang sama membuatkan isteriku tak lena tidur malam walaupun aku tetap berdengkur seperti biasa. Petang jumaat ini isteriku keluar dari hospital. Semalam, tetamu dari Malaysia iaitu Man Raman, maknya Makcik Menah, Maklang dan Makndak tiba di rumah aku bagi majlis perkahwinan Man Raman dengan Dayat di Leeds hari sabtu minggu ini.    

Daun-daun baru mula gugur