Wednesday, November 16, 2011

Pokok Mangga

   

Satu-satunya benda yang tidak boleh bercakap yang amat aku rindui adalah pokok mangga besar di halaman rumah ayahku. Dahannya yang menjulang tinggi meneduhkan halaman rumah  dan akar besarnya yang melingkari menjadi tempat pelbagai aktiviti keluarga.

Di bawah teduhannya tempat aku dan adik beradik main menyorok atau polis santri di bulan puasa. Tempat kami memasang pukat untuk mengutip buah yang gugur dan dijual di kampung Cina. Tempat berkumpul adik-beradik dan saudara mara untuk bersembang sambil makan laksami atau sempera (karipap berintikan kelapa parut kegemaran abangku Amran) diwaktu petang. Juga tempat kami main mercun di bulan puasa atau main terup empat ratus bila berkumpul. Bila ayahku buat simen tempat duduk bertingkat untuk menutup akar pokok, bawah pokok ini makin manjadi tempat berkumpul hampir setiap petang. Pernah ketika ada cadangan untuk menebang pokok ini kerana ada orang yang ingin membeli batangnya, aku tidak bersetuju. Mana mungkin wang ringgit dapat ditukar dengan segala kenangan yang tersimpan bersamanya. 

Sesungguhnya, saat ini ketika semangat perjuanganku mula bergoncang, aku menjadi amat rindu pada semua itu.......

Tuhanku, Kau teguhkan hati dan iltizamku seteguh pokok mangga itu untukku terus mengharungi baki perjalanan ini. Hanya Kau dan aku yang tahu mengapa jalan ini yang kupilih. Sesungguhnya, aku ingin berbakti kepada anak bangsaku sepertimana pokok mangga ini berbakti kepada keluargaku. Untuk itu aku perlu setinggi dan segagah pokok mangga itu dan inilah jalannya.........

18:41, 16 November 2011, waktu penuh ketenangan ketika sayup-sayup kudengar anak-anak sedang diajar mengaji Al-Quran oleh isteriku ditingkat bawah.       

Thursday, September 22, 2011

Durham Town

Inilah bandar Durham yang hampir setiap minggu aku kunjungi. Tak pernah jemu aku menyaksikan pelbagai gelagat manusia di hadapan Market Hall mahupun pemuzik jalanan di atas jambatan berhampiran Van Mildert juga The Gates. Sebutan untuk Durham adalah (play /ˈdʌrəm/, locally /ˈdʊrəm/) yang bermaksud hill on an island. Sebuah bandar lama zaman medieval yang terletak di North East, England dan hanya 30 minit dari Newcastle tetapi 4.5 jam perjalanan dengan kereta dari London. Durham Castle yang terkenal dibina pada tahun 1072 oleh bangsa Norman yang menjajah ketika itu dan kebanyakan bangunan lama adalah berhampiran sungai besar yang merentasi tengah bandar ini. Sungai yang menjadi tempat pelbagai aktiviti air oleh pelajar universiti yang juga akan membeku jika terlalu sejuk di musim winter seperti pada tahun lalu. Mr. Bean juga dilahirkan di Consett, County Durham iaitu kira-kira 20 minit dari pusat bandar.

Penghuni bandar ini adalah orang tempatan (english) dan sangat sedikit orang lain kecuali pelajar Durham university dari serata dunia. Aku suka bandar Durham kerana ianya sangat rilex dan masa terasa bergerak amat perlahan bila ke sini. Mungkin kerana tiada orang yang terburu-buru dan mereka suka menikmati pemandangan. Amat sukar untuk aku jelaskan namun yang pasti aku akan merindui bandar ini kelak walaupun perjalanan ini masih jauh.        

Wednesday, September 14, 2011

Zuriat ke-4


Jam 9 malam, Ahad 4 September 2011 isteriku masuk Wad 8 untuk proses bersalin. Esoknya jam 9.30 pagi mula masuk air dan tepat jam 1.50 tengahari lahirlah zuriat keempatku. Juga seorang anak lelaki dan genaplah kini pengusung penjuru keempat keranda jenazah kami suami isteri kelak, insyaAllah. 
Tidak seperti ramalan doktor bahawa beratnya hanya 2.4 kg berdasarkan scan, anak ini yang kunamakan Ajmal Danial seberat 2.96 kg. Sempurna fizikal dan mentalnya, alhamdulilah. Terasa sangat kekok  bagi isteriku dan aku sendiri untuk memangku Ajmal mungkin kerana hampir 7 tahun kami tidak mempunyai anak kecil. 

Jika anak-anak yang lain aku hanya goyang kaki sebab mak dan ayah mertua yang uruskan segalanya, kali ini baru kutahu rasa sibuknya. Rutinku berubah serta merta. Yang paling gembira adalah abang-abangnya. Sehingga aku menulis ini iaitu hampir 10 hari usia Ajmal, abang-abangnya Along, Angah dan Cami tetap setia disisinya. Paling aku takut kalau ditemani Cami bersendirian kerana pernah dia buat kubu dari bantal mengelilingi adiknya, nasib baik tak terbalik bantal itu. Pernah juga topi adiknya terjatuh dan dia sarungkan balik tetapi sampai tertutup mata si Ajmal. Yang paling aku tak tahan dengan Cami ni bila Ajmal tidur lena pun dia tetap akan tepuk-tepuk sambil mulutnya syhhhh...syhhhhhhhhhhhh. Jakun sungguh orang lama takdak adik ni.

Aidilfitri 2011

Ustinov College, Howland Farms selepas sembahyang hariraya

Tahun ini aidilfitri jatuh pada Selasa, 30 Ogos 2011. Ini kali ke-3 kami sekeluarga menyambut aidilfitri jauh di perantauan. Sebagaimana tahun-tahun lalu, jam 12 malam waktu UK yakni pagi raya waktu Malaysia isteriku mula mendail mak ayahnya dan sebagaimana biasanya bumi Durham mula bergenangan. Kemudian aku sendiri bercakap dengan mak dan seperti sebelumnya mak menangis bila aku  memohon ampun dan maaf dan sesungguhnya hanya Allah sahaja yang tahu perasaan aku dikala itu, suatu rasa kesayuan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.......

Aidilfitri 2011 jatuh dipermulaan musim luruh yang amat indah
Jam 8.30 pagi kami ke Ustinov College di Howland Farms untuk bersembahyang sunat hariraya. Habis sesi bergambar bersama rakan-rakan kami balik ke rumah sebab jam 3 petang isteriku ada temujanji dihospital untuk scan dan diikuti sesi dengan Dr. Marsden, doktor pakar di North Durham Hospital University. Petang ini juga ada majlis sambutan aidilfitri warga melayu Durham di Common Room, Keenan House. Kami hantar anak-anak ke majlis sambutan terlebih dahulu kecuali Cami yang ikut aku ke hospital.

Perkhabaran mengejutkan bahawa isteriku kena masuk wad esok jam 11.30 pagi kerana kandungan agak kecil dan air kandungan semakin susut. Kami kembali ke majlis sambutan yang begitu meriah tahun ini walaupun sedikit sebanyak perasaan berdebar dan bercelaru mula terasa. Menu kami tahun ini seperti tahun lalu lemang dan rendang ayam.

Dan esoknya selama dua malam isteriku di wad 10 hospital. Habis lebam-lebam pehanya dengan beberapa suntikan termasuk suntikan steroid yang amat menyakitkan. Berjuraian airmata isteriku bila kena suntikan ini tapi aku katakan demi anak terakhir kami, bersabarlah. Hari jumaat jam 12 tengahari ada sekali lagi scan dan kali ini doktor maklumkan bahawa anak kami perlu dilahirkan lebih awal iaitu pada hari isnin yakni dua minggu lebih awal dari tarikh sepatutnya. Yang lebih membuatkan isteriku hilang selera makan adalah kelahiran adalah secara paksa (induce). Pengalaman melahirkan Angah dengan cara yang sama membuatkan isteriku tak lena tidur malam walaupun aku tetap berdengkur seperti biasa. Petang jumaat ini isteriku keluar dari hospital. Semalam, tetamu dari Malaysia iaitu Man Raman, maknya Makcik Menah, Maklang dan Makndak tiba di rumah aku bagi majlis perkahwinan Man Raman dengan Dayat di Leeds hari sabtu minggu ini.    

Daun-daun baru mula gugur

Saturday, August 6, 2011

Catatan Ayahku (Siri 3)

Hujan rahmat membasahi bumi Durham pagi ini ketika aku sedang mentelaah jurnal-jurnal dan ketika isteriku yang sedang sarat ketika ini masih dibuai mimpi indahnya
Hujan turun dengan lebat pagi ini, hari ke-6 berpuasa di tahun 2011 yakni kali ketiga kami anak beranak berpuasa di perantauan. Sebagaimana sejak kecil, merenungi turunnya titisan hujan adalah minatku dan satu perkara yang sangat indah aku rasakan. Dari jendela bilik study ini sambil melihat titisan hujan yang bermanik-manik membasahi jalan belakang rumah maka akupun terkenangkan ayahku. Lalu kubuka satu-satunya diari milik ayahku yang sempat aku masukkan dalam beg sewaktu hendak ke sini dua tahun lalu. Salah satu daripada banyak diarinya yang hampir setiap tahun aku belikan untuk dia menulis. Aku selak catatan ayahku pada pada 5 Ogos 2000 (Sabtu) dan ia menulis;

betapa cantiknya tulisan ayah walaupun sedang sakit akibat strok

 Tentang bagaimana menikmati hidup yang indah ini?

Sesungguhnya nafsu itu bersama ia dalam diri manusia disamping sifat kemalaikatan. Jadi dua yang berlawanan sedang berebutan dalam diri seorang manusia, Hendak hidup atas sifat kemalaikatan maka jadilah bagai pohon kayu atau awan, matahari, bulan dan sebagainya yang ditakrifkan sebagai malaikat yang tidak punya punya apa-apa. Hendak pula hidup atas nafsu itu saja jadilah manusia yang bersifat syaitan yang tidak punya apa-apa melainkan setiap usahanya itu atas dirinyalah ikhtiarnya itu. 

Jadi bagaimana hendak mengindahkan hidup ini?

Kembalilah kepada anjuran agama islam yang murni. Hiduplah di antara kedua nafsu itu. Biarkan ia berbolak balik seperti air yang sedang mendidih. Jadilah kalian hidup dengan jujur dan ikhlas, tiada sebarang penyakit-penyakit hati seperti dengki, mementing diri sendiri dan lain-lainnya. Percayalah hidup begitu amat indahnya dan itulah nikmat dari kehidupan ini.    


Bilik study. Akan terasa sesuatu yang tidak kena jika tak masuk bilik ini setiap hari
Catatanku:

Aku sangat mengkagumi ayahku bukan sekadar kerana ia ayahku tetapi ia juga kerana dia adalah gedung ilmu dunia akhirat yang tiada tolak bandingnya. Banyak panduan hidup yang diberikannya pada kami anak-anaknya sepanjang kami membesar terutama selepas tahun 1988 yakni selepas dia diserang strok sehingga nafas terakhirnya pada 24 November 2005. Moga Allah SWT mengampunkan segala dosanya dan menempatkannya di kalangan hambaNya yang diredai. Aku ingin sekali bertemu dengannya disana kelak..... 

Tidak pernah aku menyangka bahawa diari-diari yang aku hadiahkan pada ayahku hampir setiap tahun ini akhirnya menjadi khazanah ilmu yang amat tinggi nilainya untuk panduan sepanjang perjalanan hidupku pula
   


Saturday, July 23, 2011

Meludah ke langit

Semalam, Jumaat 22 Julai 2011 jam 2.36pm, satu letupan besar menggegarkan pusat bandar Oslo berdekatan pusat pentadbiran Kerajaan di bawah Parti Buruh yang mana berhampiran pejabat Perdana Menteri Norway. Letupan itu juga berdekatan dengan pejabat Jyllands-Posten, akhbar utama Denmark yang menyiarkan karikatur Nabi Muhammad pada September 2005 dan mencetuskan kontroversi di seluruh dunia satu ketika dulu.  Walaupun hanya melalui kawasan ini tanpa singgah sewaktu lawatan ke sana tahun lalu (25-27 September 2010), aku dapat bayangkan bagaimana paniknya warga Oslo yang tidak pernah merasai pengalaman sebegini sepertimana ianya sudah menjadi asam garam kepada warga Afghanistan, Pakistan mahupun di Iraq. 

Apa reaksinya?

Semua stesen TV yang boleh dicapai oleh freeview rumah aku seperti Sky news, BBC, CNN, Russian Today, Al-Jazeera membuat liputan langsung sama seperti sewaktu pengeboman WTC 9/11. Pelbagai jenis manusia diwawancara di serata dunia dan pelbagai pendapat dan analisis diutarakan yang kebanyakannya mengarah kepada pembabitan militan islam atas tiket bahawa Norway ahli aktif NATO yang menyertai perang di Afghanistan dan juga pengeboman berterusan di Tripoli, Libya selain isu karikatur nabi Muhammad berkenaan. Aku yang berterusan menonton berdoa agar janganlah pengeboman ini dilakukan oleh orang islam diketika pengguna twitter, Facebook dan pelbagai media alternatif mula berdebat tentang siapa disebalik pengeboman ini. Tambahan pula dikatakan terdapat individu yang cuba memanaskan lagi keadaan dengan membuat panggilan telefon yang mendakwa mewakili Helpers of Global Jihad dan mengaku bertanggungjawab melakukan pengeboman ini sebagai membalas penglibatan Norway di Afghanistan.

Jam 5.25pm waktu tempatan atau 4.25pm waktu UK berita mula tersebar bahawa berlaku tembakan rambang (shooting spree) di perkhemahan Kem Remaja tajaan Parti Buruh di Utoya Island iaitu sebuah pulau kecil 38km dari Oslo. Seorang lelaki berpakaian polis dikatakan menembak remaja berusia belasan tahun secara membabi buta hingga mengakibatkan banyak kematian. Ianya kemudian ditangkap.

Polis kemudiannya mendedahkan bahawa lelaki yang ditahan berkenaan adalah Anders Behring Breivik, 32 tahun, warga tempatan (norwegian), freemasonry, aktivis berhaluan kanan (far-right activists), conservative nationalist yang anti-immigrant, anti-muslim, pro-yahudi dan memperjuangkan negara satu bangsa yakni bangsa Norway atau bangsa Eropah. Beliau adalah petani dan polis mengesahkan ada kaitan antara pengeboman di Oslo dengan shooting spree di Utoya Island.

Tiba-tiba semua media yang sangat ghairah untuk mengaitkan pengeboman ini dengan militan islam senyap sunyi, tiada lagi analisis berat sebelah. Kerana apa, kerana lelaki ini ada seorang christian freemasonry  yang bukan setakat anti-muslim dan pro-yahudi dan yang lebih utama beliau berbangsa Eropah. Mereka seakan tidak percaya akan hakikat ini.

Meludah ke langit, terpalit muka sendiri.

Begitulah tebalnya prejudis masyarakat barat terhadap islam dan insiden ini membuktikan bahawa tindakan media mereka yang seringkali mengaitkan islam dengan keganasan akhirnya memakan diri sendiri di mana ianya akhirnya mewujudkan kelompok manusia seperti English Defence League, Norwegian Defence League dan pelbagai kumpulan nasionalist di hampir kesemua negara Eropah yang membenci kerajaan mereka sendiri yang dituduh lemah dalam mengambil tindakan terhadap bangsa asing dan gagal menyekat perkembangan agama islam di Eropah.  

Setakat ini polis mengesahkan lebih 90 orang terbunuh akibat angkara "a home-grown terrorist".

Semoga mereka belajar dan tersedar.




Thursday, June 16, 2011

Lembaran kehidupan

12 June 2011, Pija anak Paklong Jaafar kahwin. Kebetulan aku call adik aku si Aziz malam sebelum kenduri dan sayunya hati ini mendengar akan keriuhan suasana malam kenduri kenduri dicorong telefon.........jika disana mungkin tika itu aku sedang menikmati bihun sup tulang lembu atau sibuk bergebang dan buat lawak dengan saudara mara atau mungkin juga tengah main terup dengan Pakngah Din, Pakcik Leman dan lain-lain. Manis sungguh kenangan.....

Bulan Oktober ini genap dua tahun ku tinggalkan tanahairku demi meneroka lembaran baru dalam babak kehidupan, lembaran yang penuh dengan segala macam rasa.........suka duka silih berganti. Ramai yang telah pergi tanpa dapat aku menatap wajah mereka buat kali terakhir. Toksu Che Amat (anak bongsu keturunan Budin) dan Paklang Tapa antara yang paling rapat yang pergi dan tak kembali. Moga diterima mereka itu disisiNya. Makin ramai yang dah berkahwin dan makin bertambah saudara mara aku dengan anak-anak yang baru dilahirkan.

Jika aku yang mak ada datang bulan lepas juga masih merindui, apatah lagi agaknya isteriku. Aku tahu dia amat rindukan mak ayah dia terutama selepas Tok Nab kembali ke rahmatullah tidak lama dahulu. Tapi tidak walau sekali dia merungut atau meminta untuk balik ke Malaysia. Mungkin dia tidak mahu memeningkan kepalaku. Terima kasih atas kesabaranmu wahai isteriku, akan kupahatkan namamu dalam thesisku. ......

Annual Review (21 month) dah selesai begitu juga 1st empirical chapter yang tengah di edit oleh SV untuk dihantar ke journal. Minggu lepas aku mula dengan 2nd empirical chapter dan moga-moga ianya juga berjalan lancar. Aku ingin segera pulang walau aku tahu bekerja tidak sama dengan belajar. Ketenangan disini takkan sama dengan yang menanti. Aku tetap ingin pulang tapi dengan kejayaan kerana ianya akan lebih manis untuk dikenang............nanti keceritakan kaitan ayahku dengan PhD ini.