Sunday, October 24, 2010

Steavenson Street di langgar garuda

Pada 15 Oktober 2010 (Jumaat) keluarga Afandi selamat berangkat pulang ke tanahair setelah 3 tahun 5 bulan berada di Durham. Suasana Stevenson Street yang kebiasaannya riuh-rendah dengan anak-anak aku dan anak-anak dia bermain sama ada di luar rumah mahupun berkungfu di dalam rumah kini agak sepi. Tiada lagi ketukan di pintu bertalu-talu  dan diikuti suara nyaring si Adib.........."buka pintuuuuuuuuuuuu......nak masuk niiiiii" atau suara si Adam yang suka mendewakan ayahnya ".....ayah saya pandai kungfu!!!!....." . Tiada juga lagi deringan telefon dari Ayu yang tidak pernah tidak telefon bini aku setiap hari atau bini aku yang dok telefon dia, kadangkala sampai 3-4 kali sehari, apa yang diaorang cerita aku pun taktau. Pendek kata, Steavenson Street bagai dilanggar garuda sepulangnya keluarga ini ke Malaysia.

Buat mereka sekeluarga, selamat kembali ke bumi realiti..........semoga berjumpa lagi. Kenangan bersama tetap terpahat dan semoga persahabatan ini berpanjangan.

Kek bini aku masa hari angkat barang keluarga Afandi 
Si Cami mandi dengan Adam & Adib, pagi sebelum berangkat

Kawan-kawan yang datang ke rumah aku untuk menghantar mereka pulang

Cami dan Adam, gambar terakhir di Bowburn, Durham
Mereka yang ditinggalkan

Cami dan Adib, gambar terakhir sebelum Cami ke sekolah


Keluarga yang menghantar ke airport

Gara-gara terlebih muatan......punggah bang jangan tak punggah
There are big ships and small ships, but the best ship of all is friendship

Selamat jalan, moga bertemu lagi........




 

Thursday, October 14, 2010

Detik itu tiba jua

Setelah 22 hari menunggu bersamaan dengan 528 jam bersamaan dengan 31680 minit dan bersamaan dengan 1.9 juta saat, akhirnya jam 11.19 pagi, 14 October 2010 detik itu tiba jua. Rupanya bukan Dr. Michael Hou yang menilai confirmation dokumen aku tapi Professor Rob Dixon. Dihujung komen-komennya ada box untuk recommendation dan dia tick pada kotak pertama yang tertulis:

RECOMMENDATION
Confirm Status on PhD
If the work proceeds as planned it will lead to a PhD

Alhamdulilah, kupanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT atas kurniaan yang amat besar maknanya ini. Terima kasih kepada semua yang mendoakan, isteriku, mak, mak ayah mertua, adik-beradik, kawan-kawan dan semua sekali di mana jua berada. 

Dengan keputusan ini, walau perjalanan masih panjang, terasa langkah makin kukuh dan semangat kembali berkobar untuk menggengam bara hingga menjadi abu. Terasa pengorbanan selama dua bulan ini berbayar sudah dan indah sungguh perasaan ini.............seolah anak teruna yang baru lepas diijabkabulkan, hehehhehehee.... (mesti bini aku kata gatal ni)..........dia taktau lagi keputusan ni.

Esok bermulalah episod baru dalam kamus PhD aku. Aku akan mula menulis chapter pertama thesis ini. Moga istiqomah ini berterusan dan moga dipermudahkanNya perjalanan ini. Amin

Monday, October 11, 2010

R778 MPY

Banyak berjasa kereta ni.
Semalam aku menjual kereta Nissan Almeera yang aku beli selepas tiga hari sampai di UK pada tahun lalu kepada seorang lelaki Australia bernama Adam Noble dan aku kini menggunakan pula kereta model dan tahun yang sama yang aku beli dari Najib dengan harga 200 pound. Bezanya cuma yang  baru ini warnanya hijau. Dijual kerana tiada keperluan dan tak mampu untuk guna dua kereta.
Banyak jasa kereta ni, dari Scotland di utara sampai Wales di selatan. Sepanjang lebih satu tahun guna kereta ni tak pernah buat hal, cuma lately enginnya dah tak berapa sedap berbunyi. Selamat jalan keretaku.......

Saturday, October 9, 2010

Bersemadilah akhirnya Paklang Tapa

Semalam, jam 7 malam waktu UK aku menerima perkhabaran tentang perginya Paklang Tapa,suami kepada ibu saudaraku ke rahmatullah setelah sakit hampir berbulan-bulan. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan beliau di kalangan orang-orang yang mendapat keampunan dan keredhaanNya.

Begitulah hakikat kehidupan manusia sebagaimana jua makhlukNya yang lain. Dilahirkan sebagai bayi yang tidak berupaya, menjadi remaja yang gagah perkasa, si dewasa yang diberikan akal minda yang bijaksana dan akhirnya si tua yang yang menghitung hari senja lalu akhirnya dikembalikan kepada penciptaNya. Tiada yang ditinggalkan, hanya tangisan mengiringi buat sementara dan kedukaan buat mereka yang ditinggalkan. Sabarlah wahai hati-hati yang ditinggalkan kerana pemergian ini hanya satu perpindahan dari dunia sementara ke alam yang lebih kekal dan abadi.


Bersemadilah Paklang Tapa dengan memori-memori indah bersama yang ditinggalkannya. Semoga damainya di sana melebihi amannya di sini.............. 

Wednesday, September 22, 2010

Teater Kehidupan Siri II

Sambungan Teater Kehidupan.....

Pementasan babak pertama teater bertajuk "Perjalanan Hidup Daku" atau ringkasnya PHD telah dipentaskan  pada 22 Mac 2010 dan pada hari ini, 22 September 2010 iaitu tepat 6 bulan kemudian, pementasan babak kedua teater berkenaan telah diadakan pula di tempat yang sama yakni di pondok usang , Bukit Mill. Bapak Sutradara masih orang sama, yakni seorang ahli sufi berketurunan Anwar-el-Sadat yang dibantu Pengarah Utama, berketurunan Adolf Hitler dan Joseph Stalin. Syukur, kedua-dua mereka masih mahu mengekalkan watak "aku" yang merupakan pelakon utama kepada teater ini.
Kali ini, pada giliran ketiga, babak kedua teater PHD ini telah dipentaskan juga di hadapan cerdik pandai manusia berketurunan Socrates, Plato dan Aristotle. Sebagaimana pada pementasan pertama, "aku" yang serba kekurangan amat menyedari bahawa pementasan teater bertajuk PHD ini acapkali dilakonkan di seantero dunia, cuma pelakonnya sahaja yang berbeza. Kadangkala penghujung ceritanya berakhir bahagia dan adakalanya berakhir dengan deraian airmata. 
Watak yang dilakonkan pada kali ini ternyata lebih mencabar dan mampu menggundah gulanakan  rutin hidup harian. Ini kerana, kali ini "aku" diminta memainkan watak sebagai banduan akhir yang menantikan hukuman gantung yang akan dilaksanakan oleh seorang Bapak Petanda (The Undertaker) bernama Michael  Hou, seorang pahlawan murtad berketurunan Maharani Dowager Cixi (Empress Dowager Cixi) dari Dinasti Qing.  
Usai sesi mempertahankan hujah dan pembelaan, maka keputusan bersalah atau tidak akan diketahui 7 hari lagi dan akan dimaklumkan oleh Bapak Petanda kepada Bapak Sutradara dan juga Pengarah Utama. Jika keputusan bersalah diperolehi, maka Bapak Petanda akan melaksanakan tugasannya dan jika  sebaliknya, maka "aku" akan menjadi manusia paling bersyukur atas rahmat yang diberi. Sepertimana pada babak pertama, di mana "aku" menjelajahi ke selatan bumi UK seusai pementasan, pada kali ini "aku" yang ternyata amat kepenatan ingin sekali lagi menghirup manisnya udara alam bersama keluarganya bagi mempersiapkan  diri untuk watak-watak yang lebih pelbagai di hari muka. Kali ini bumi tuhan di sebuah negara Scandinavia akan kami jelajahi selama empat hari. Oslo, Norway.........          


Thursday, September 16, 2010

Catatan Ayahku (2)

Hari ini pada 16 September 2000 arwah ayahku menulis dalam buku catatan hariannya,

"Rupanya orang yang dilaknati Allah ialah orang yang tidak diberi Allah akan rahmatNya. Bagaimanakah rahmat Allah itu?. Katakan rahmat Allah itu kedamaian dalam hidup, dimudahkanNya rezeki fizikal dan spiritual...." 

dan pada hari berikutnya ayahku menulis....

"hidup dengan rahmat tuhan dengan amal kebajikan yang baik merupakan bekal terbaik masa tua dan masa tidak boleh bergerak lagi. Rahmat tuhan itu akan berlanjutan hingga kematian menjemput kita"

Al-fatihah buat arwah ayahku.

Friday, September 10, 2010

Aidilfitri kedua di perantauan

Hari ini, Jumaat 10 September 2010 adalah sambutan aidilfitri di Durham. Ini kali ke-2 aku menyambut aidilfitri di perantauan walaupun baru setahun di sini. Seperti biasa kami sekeluarga bersembahyang hari raya di Howland Farm, Ustinov. Habis sembahyang dan sesi bergambar bersama keluarga Melayu lain, aku terus ke rumah Syahmi di Newton Hall untuk berhari raya.

Petang jam 3 pula ke Keenan House untuk majlis hari raya warga melayu. Kali ni bini aku buat lemang dengan rendang ayam sebagai menu potluck. Lemang UK ni simple jer, masak pulut dan seterusnya gulung dalam daun pisang dan balut dengan aluminium foil pastu bakar dalam oven. Bermacam-macam acara dari anak-anak sampai mak ayah diadakan untuk memeriahkan suasana hariraya walaupun jauh di sudut hati sana, ada rasa kesayuan terutama bila mak menangis bila aku telefon untuk ucap selamat hari raya pagi tadi. 

Persembahan dari pelajar Sekolah Melayu Bowburn, dah besar anak sulung aku..
 Lemang Made in UK