Wednesday, December 1, 2010

Sajak Winter 2010

 Winter 2010

Musim lalu kau tiba, kami sekeluarga riang gembira
Snowman dan sledging berbagai gaya
Tak cukup gambar berdiri, berbaring dan tertimbus dalam snow pun ada
Dalton Park, SGIA atau Howland Farms....katakan saja semua kami teroka
Tak cukup digital kamera, Nikon D40 dengan 4GB SD Card aku beli sedaya upaya
Anak-anak pula mantap tubuh badan walaupun ini kali pertama......

Tahun ini kau tiba, kami sekeluarga kurang teruja
Snowman juga berwajah duka, 10 inci punya cerita.....
ke school aku tak pergi, -4 celcius punya kerja
Asssignment tak siap, mampus aku dengan Rabecca
Anak-anak batuk berjela, mak ayah hanya bermain mata

Wahai winter 2010, datangmu ku alu
pergimu juga ku tunggu......
 perutku mula rasa lapar dan ngilu
nasib baik bini aku tengah buat bihun sup kat bawah tu....

5.45 pm
1 Disember 2010
Tengah boring buat assignment












Tuesday, November 23, 2010

Durham Bonfire Night 2010

Kalau depa ni tengok unggun api kat Malaysia mesti terkejut beruk
 




Kena panjat bukit nak ke tempat Bonefire
Jumaat, 5 November 2010

Malam ni adalah malam Bonfire Night di Durham dan tempat biasa yang paling meriah sambutan adalah di Aykley Heads, padang sebelah police station. Sebenarnya Bonfire Night ini disambut seluruh UK setiap 5 November untuk mengenang peristiwa 5 November 1605 di mana sekumpulan 13 lelaki gagal dalam cubaan untuk meletupkan Parlimen British di bawah pemerintahan James I.

Atas keterujaan anak-anak untuk melihat kali pertama dengan dekat persembahan bunga api dan nak tahu besar mana unggun api yang akan dibakar tahun ini, maka aku bawak semua ke situ walaupun jalan agak sesak. Rupanya siap ada konsert dari artis X-Factor. Tunggu dalam 30 minit dan unggun api pun dibakar oleh anggota bomba. Maka bersoraklah keriangan beribu-ribu penonton yang melihat dan nak tergelaklah aku tengok gelagat mereka sebab kat Malaysia setakat unggun api besar ni aku bakar depan rumah aku jer...........hehehheehe, ni nak kena bayar 6 pound dan siap ahli bomba yang bakarkan........hampeh. Tapi yer la jugak, kat sini mana la boleh buat pembakaran terbuka.

Bila api dah cukup marak, bunga api pun memenuhi ruang udara di depan mata kami yang bersila anak beranak atas rumput padang. Maka sambil melayan tengok persembahan bunga apa kira-kira 20 minit itu, aku pun terkenanglah Pertandingan Bunga Api tahunan di PICC, Putrajaya yang setiap tahun kami pergi tengok. Sesungguhnya, seindah mana negeri orang, indah lagi negeriku.......aku rindu pada kenangan.

Pelamin anganku musnah.....



Ikut perancangan pada cuti Krismas ini aku akan ke negara yang terletak di pertembungan antara dua tamadun. Tetapi, tuhan lebih mengetahui yang terbaik untuk hambaNya, maka terpaksalah rancangan itu dibatalkan. Puncanya.....isk, sedih nak cerita. Elaun kena potong lebih 300 pound sebulan atas nama untuk menyelaraskan kadarnya dengan pelajar lain.

Takpalah, aku tidak akan merungut mahupun membantah. Cumanya tiada lagi angan-angan untuk menghirup manisnya udara alam selain negara ini untuk melepas lelah. Mungkin ada hikmah yang terselindung, aku redha. Jika ianya berlaku kerana hasad manusia, aku juga telah memberi kemaafan bersyarat.

Tadi jam 3.00 petang ke Darlington untuk hantar Azli ke London dan seterusnya dia akan ke Heathrow untuk pulang ke Universiti Al-Azhar, Cairo. Dia tiba dari tempat kerjanya di London ke rumah aku dua hari yang lalu. Maka tamatlah cerita Azli di bumi UK setelah hampir 4 bulan di sini. 

Sejak dua minggu lalu telah 3 orang warga melayu Durham University yang telah lulus viva mereka, Dr. Syukriah (Law), suaminya Dr. Syahmi (Islamic Finance) dan seorang lagi pensyarah dari UMS, Dr. Rahimie (Islamic Finance). Pertengahan bulan Disember, Afandi pulak akan datang ke Durham untuk viva. Aku tumpang gembira dan rasa seronok sangat melihat seorang demi seorang anak bangsa memperolehi kejayaan hasil perjuangan getir mereka selama 3-4 tahun. Moga ilmu yang diperolehi dipergunakan sebaik mungkin untuk kemajuan negara dan semoga kemaslahatan anak bangsa tetap menjadi agenda.  Jumaat ini mereka akan buat kenduri kesyukuran di Keenan House.

Aku pulak macamana?........ esok sambung cerita sebab jam 9 pagi esok kena jumpa kedua-dua SV untuk bincang pasal first empirical chapter. Moga segalanya berjalan lancar.  

Sunday, October 24, 2010

Steavenson Street di langgar garuda

Pada 15 Oktober 2010 (Jumaat) keluarga Afandi selamat berangkat pulang ke tanahair setelah 3 tahun 5 bulan berada di Durham. Suasana Stevenson Street yang kebiasaannya riuh-rendah dengan anak-anak aku dan anak-anak dia bermain sama ada di luar rumah mahupun berkungfu di dalam rumah kini agak sepi. Tiada lagi ketukan di pintu bertalu-talu  dan diikuti suara nyaring si Adib.........."buka pintuuuuuuuuuuuu......nak masuk niiiiii" atau suara si Adam yang suka mendewakan ayahnya ".....ayah saya pandai kungfu!!!!....." . Tiada juga lagi deringan telefon dari Ayu yang tidak pernah tidak telefon bini aku setiap hari atau bini aku yang dok telefon dia, kadangkala sampai 3-4 kali sehari, apa yang diaorang cerita aku pun taktau. Pendek kata, Steavenson Street bagai dilanggar garuda sepulangnya keluarga ini ke Malaysia.

Buat mereka sekeluarga, selamat kembali ke bumi realiti..........semoga berjumpa lagi. Kenangan bersama tetap terpahat dan semoga persahabatan ini berpanjangan.

Kek bini aku masa hari angkat barang keluarga Afandi 
Si Cami mandi dengan Adam & Adib, pagi sebelum berangkat

Kawan-kawan yang datang ke rumah aku untuk menghantar mereka pulang

Cami dan Adam, gambar terakhir di Bowburn, Durham
Mereka yang ditinggalkan

Cami dan Adib, gambar terakhir sebelum Cami ke sekolah


Keluarga yang menghantar ke airport

Gara-gara terlebih muatan......punggah bang jangan tak punggah
There are big ships and small ships, but the best ship of all is friendship

Selamat jalan, moga bertemu lagi........




 

Thursday, October 14, 2010

Detik itu tiba jua

Setelah 22 hari menunggu bersamaan dengan 528 jam bersamaan dengan 31680 minit dan bersamaan dengan 1.9 juta saat, akhirnya jam 11.19 pagi, 14 October 2010 detik itu tiba jua. Rupanya bukan Dr. Michael Hou yang menilai confirmation dokumen aku tapi Professor Rob Dixon. Dihujung komen-komennya ada box untuk recommendation dan dia tick pada kotak pertama yang tertulis:

RECOMMENDATION
Confirm Status on PhD
If the work proceeds as planned it will lead to a PhD

Alhamdulilah, kupanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT atas kurniaan yang amat besar maknanya ini. Terima kasih kepada semua yang mendoakan, isteriku, mak, mak ayah mertua, adik-beradik, kawan-kawan dan semua sekali di mana jua berada. 

Dengan keputusan ini, walau perjalanan masih panjang, terasa langkah makin kukuh dan semangat kembali berkobar untuk menggengam bara hingga menjadi abu. Terasa pengorbanan selama dua bulan ini berbayar sudah dan indah sungguh perasaan ini.............seolah anak teruna yang baru lepas diijabkabulkan, hehehhehehee.... (mesti bini aku kata gatal ni)..........dia taktau lagi keputusan ni.

Esok bermulalah episod baru dalam kamus PhD aku. Aku akan mula menulis chapter pertama thesis ini. Moga istiqomah ini berterusan dan moga dipermudahkanNya perjalanan ini. Amin

Monday, October 11, 2010

R778 MPY

Banyak berjasa kereta ni.
Semalam aku menjual kereta Nissan Almeera yang aku beli selepas tiga hari sampai di UK pada tahun lalu kepada seorang lelaki Australia bernama Adam Noble dan aku kini menggunakan pula kereta model dan tahun yang sama yang aku beli dari Najib dengan harga 200 pound. Bezanya cuma yang  baru ini warnanya hijau. Dijual kerana tiada keperluan dan tak mampu untuk guna dua kereta.
Banyak jasa kereta ni, dari Scotland di utara sampai Wales di selatan. Sepanjang lebih satu tahun guna kereta ni tak pernah buat hal, cuma lately enginnya dah tak berapa sedap berbunyi. Selamat jalan keretaku.......

Saturday, October 9, 2010

Bersemadilah akhirnya Paklang Tapa

Semalam, jam 7 malam waktu UK aku menerima perkhabaran tentang perginya Paklang Tapa,suami kepada ibu saudaraku ke rahmatullah setelah sakit hampir berbulan-bulan. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan beliau di kalangan orang-orang yang mendapat keampunan dan keredhaanNya.

Begitulah hakikat kehidupan manusia sebagaimana jua makhlukNya yang lain. Dilahirkan sebagai bayi yang tidak berupaya, menjadi remaja yang gagah perkasa, si dewasa yang diberikan akal minda yang bijaksana dan akhirnya si tua yang yang menghitung hari senja lalu akhirnya dikembalikan kepada penciptaNya. Tiada yang ditinggalkan, hanya tangisan mengiringi buat sementara dan kedukaan buat mereka yang ditinggalkan. Sabarlah wahai hati-hati yang ditinggalkan kerana pemergian ini hanya satu perpindahan dari dunia sementara ke alam yang lebih kekal dan abadi.


Bersemadilah Paklang Tapa dengan memori-memori indah bersama yang ditinggalkannya. Semoga damainya di sana melebihi amannya di sini.............. 

Wednesday, September 22, 2010

Teater Kehidupan Siri II

Sambungan Teater Kehidupan.....

Pementasan babak pertama teater bertajuk "Perjalanan Hidup Daku" atau ringkasnya PHD telah dipentaskan  pada 22 Mac 2010 dan pada hari ini, 22 September 2010 iaitu tepat 6 bulan kemudian, pementasan babak kedua teater berkenaan telah diadakan pula di tempat yang sama yakni di pondok usang , Bukit Mill. Bapak Sutradara masih orang sama, yakni seorang ahli sufi berketurunan Anwar-el-Sadat yang dibantu Pengarah Utama, berketurunan Adolf Hitler dan Joseph Stalin. Syukur, kedua-dua mereka masih mahu mengekalkan watak "aku" yang merupakan pelakon utama kepada teater ini.
Kali ini, pada giliran ketiga, babak kedua teater PHD ini telah dipentaskan juga di hadapan cerdik pandai manusia berketurunan Socrates, Plato dan Aristotle. Sebagaimana pada pementasan pertama, "aku" yang serba kekurangan amat menyedari bahawa pementasan teater bertajuk PHD ini acapkali dilakonkan di seantero dunia, cuma pelakonnya sahaja yang berbeza. Kadangkala penghujung ceritanya berakhir bahagia dan adakalanya berakhir dengan deraian airmata. 
Watak yang dilakonkan pada kali ini ternyata lebih mencabar dan mampu menggundah gulanakan  rutin hidup harian. Ini kerana, kali ini "aku" diminta memainkan watak sebagai banduan akhir yang menantikan hukuman gantung yang akan dilaksanakan oleh seorang Bapak Petanda (The Undertaker) bernama Michael  Hou, seorang pahlawan murtad berketurunan Maharani Dowager Cixi (Empress Dowager Cixi) dari Dinasti Qing.  
Usai sesi mempertahankan hujah dan pembelaan, maka keputusan bersalah atau tidak akan diketahui 7 hari lagi dan akan dimaklumkan oleh Bapak Petanda kepada Bapak Sutradara dan juga Pengarah Utama. Jika keputusan bersalah diperolehi, maka Bapak Petanda akan melaksanakan tugasannya dan jika  sebaliknya, maka "aku" akan menjadi manusia paling bersyukur atas rahmat yang diberi. Sepertimana pada babak pertama, di mana "aku" menjelajahi ke selatan bumi UK seusai pementasan, pada kali ini "aku" yang ternyata amat kepenatan ingin sekali lagi menghirup manisnya udara alam bersama keluarganya bagi mempersiapkan  diri untuk watak-watak yang lebih pelbagai di hari muka. Kali ini bumi tuhan di sebuah negara Scandinavia akan kami jelajahi selama empat hari. Oslo, Norway.........          


Thursday, September 16, 2010

Catatan Ayahku (2)

Hari ini pada 16 September 2000 arwah ayahku menulis dalam buku catatan hariannya,

"Rupanya orang yang dilaknati Allah ialah orang yang tidak diberi Allah akan rahmatNya. Bagaimanakah rahmat Allah itu?. Katakan rahmat Allah itu kedamaian dalam hidup, dimudahkanNya rezeki fizikal dan spiritual...." 

dan pada hari berikutnya ayahku menulis....

"hidup dengan rahmat tuhan dengan amal kebajikan yang baik merupakan bekal terbaik masa tua dan masa tidak boleh bergerak lagi. Rahmat tuhan itu akan berlanjutan hingga kematian menjemput kita"

Al-fatihah buat arwah ayahku.

Friday, September 10, 2010

Aidilfitri kedua di perantauan

Hari ini, Jumaat 10 September 2010 adalah sambutan aidilfitri di Durham. Ini kali ke-2 aku menyambut aidilfitri di perantauan walaupun baru setahun di sini. Seperti biasa kami sekeluarga bersembahyang hari raya di Howland Farm, Ustinov. Habis sembahyang dan sesi bergambar bersama keluarga Melayu lain, aku terus ke rumah Syahmi di Newton Hall untuk berhari raya.

Petang jam 3 pula ke Keenan House untuk majlis hari raya warga melayu. Kali ni bini aku buat lemang dengan rendang ayam sebagai menu potluck. Lemang UK ni simple jer, masak pulut dan seterusnya gulung dalam daun pisang dan balut dengan aluminium foil pastu bakar dalam oven. Bermacam-macam acara dari anak-anak sampai mak ayah diadakan untuk memeriahkan suasana hariraya walaupun jauh di sudut hati sana, ada rasa kesayuan terutama bila mak menangis bila aku telefon untuk ucap selamat hari raya pagi tadi. 

Persembahan dari pelajar Sekolah Melayu Bowburn, dah besar anak sulung aku..
 Lemang Made in UK



Tuesday, August 31, 2010

Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Tercinta



Kali ini adalah kali kedua aku menyambut kemerdekaan negara tercinta di bumi asing ini. Namun, walau jauh beribu batu ingatan terhadap negara dan bangsaku tetap kukuh seperti dahulu. Mendengar lagu ini mengingatkan aku tentang betapa setiap kali keluar negara dan apabila tiba semula di KLIA, aku pasti terasa begitu sayu dan sebak sekali selain berbangga dapat memijakkan kaki sekali lagi di bumi tercinta.

Walau ada cacat celanya negaraku, walau ada gurisan-gurisan panjang pada sejarahnya tetapi untuk memperlekeh dan merendah-rendahkan negaraku tidak sekali-kali. Aku sayangkan negaraku, aku cintakan bangsaku. Persoalannya, cukupkah sekadar bersemangat patriotik, melaung-laungkan ungkapan "merdeka",  atau cukupkah setakat mengalirkan airmata apabila terkenangkan negara atau sewaktu tiba ditanahair?. Sedangkan pada masa yang sama masih ramai anak bangsaku yang merempat dan mengemis di bumi sendiri?, entahkan ada entahkan tidak tanah untuk dikebumikan bangsaku dua dekad akan datang?

Sesungguhnya ada agenda yang belum selesai dan menjadi tanggungjawab kita sebagai anak warisan untuk menyempurnakannya walau terkadang aku merasa sedih melihat ramai anak bangsa yang hanya tahu mengkritik dan memperlekehkan negara sendiri tetapi tidak pula mahu menyumbang untuk negara bangsanya. Buat rakan seperjuangan yang ditakdirkan ilahi untuk berada pada posisi yang sesuai untuk melakukan yang terbaik untuk bangsa dan negara, moga perjuangan kita untuk terus memertabatkan negara bangsa ini akan diberkati. Merdeka!

Friday, August 27, 2010

Setahun sudah berlalu - Siri 2

Bini aku (dalam flight MAS ketika mendarat di Schipol, Holland untuk transit ke Newcastle, UK) dan selepas setahun berlalu.
Kek buatan bini aku sempena ulangtahun pertama (27/08/2010) di Durham, UK. Selepas setahun aku tengok bini aku makin kreatif buat kek, bermacam-macam jenis.....

Hari pertama pijak kaki di bumi UK (abang misai), sekarang (abang takdak misai). Satu benda yang aku tak sanggup nak bandingkan ialah rambut aku.....

Setahun sudah berlalu (anak-anak)

Pejam celik, pejam celik dah setahun kat sini. Gambar anak-anakku sebelum dan selepas setahun berlalu....

        Sebelum ke sini                           Selepas di sini