Saturday, October 10, 2009

Si Cami buat hal.....


Inilah pahlawan Melayu tersebut bersama aksi erotiknya di Shakespeare Park, Crook Hall and Garden masa kami pergi apple picking dua minggu lalu.....


Surat dari Headteacher Si Cami....

Minggu ni aku geram betul kat si Cami. Cikgu dia bagi surat kata dia gigit kawan sekelas dia, anak orang putih la kot gamaknya. Malamnya, bini aku marah kat dia dan nak cilikan mulut dia, punya la dia menangis. Dia ingatkan sos yang bini aku guna buat-buat nak cili dia tu pedas, padahal sos manis Thailand tu jer. Makanya berjanjilah dia takkan gigit orang lagi. Malamnya jenuh la pulak aku mengarang surat untuk cikgu dia katakan yang aku dah nasihatkan di Cami tu. Sebenarnya bukan gigit pun, apa yang dia buat macam orang Kedah kata "melawak lembu"....kasarlah guraunya tu. Anak orang putih ni, kena sikit pun dah berbekas badannya. Camna pun semua dah okay. Aku saja masukkan surat cikgu dia ni dalam bloq ni supaya nanti bila besar, dia sendiri boleh tau perangainya masa kecil dan macamana susahnya ayah dia yang tak berapa pandai mengarang Bahasa Inggeris ni dok cari ayat yang sesuai. Eh...ehhh, lupa nak tanya mak aku, time kecik dulu aku ada pernah gigit orang tak, sebab kata orang...."bapa borek, anak bintik-bintik.....". Atau pun tah-tah bini aku yang suka gigit-gigit nie....."mama borek, anak gigit-gigit...."

(Perenggan ni aku akan delete bila Si Cami dah pandai baca....)
Namun begitu jauh disudut hati aku, adalah juga rasa bangga sebab setelah 134 tahun iaitu sejak 1875 iaitu peristiwa Si Putum menikam JWW Birch, Residen pertama Inggeris di Perak di Pasir Salak, akhirnya muncullah seorang pahlawan Melayu bernama Si Cami yang berani menggigit anak orang putih. Aku pulak asal dari Perak, makanya mungkinkah anak-anakku ini keturunan Dato' Maharajalela?. Kalau begitu, aku cadang nak tulis surat kat Istana Perak untuk mintak elaun kerabat diraja, minta istana bayar dalam Pound Sterling, senang sikit aku nak belanja kat Carboot....hehehehehe.

Monday, September 28, 2009

Suatu hari di Hari Raya......


....Selamat Hari Raya Aidilfitri 2009

Daun kat Howlands Farm dah mula berwarna merah....tanda musim luruh akan tiba

Anak-anak Melayu lepas sembahyang raya

Inilah biskut dan manisan Pak Arab

Semua jenis makanan Malaysia ada hari ni...

Hariraya pun ada kek!!.

Bini aku masih ceria....musim duka belum tiba (Winter)

Si Cami sepatutnya 3 kali terkeluar tapi dia nak main jugak. Orang pass bola ke orang sebelah, dia lambung tinggi-tinggi...

Anak-anak dara sunti Bowburn.....Amin jeling jer


Pagi raya aku dan Amin pergi sembahyang raya di Howlands Farm, Durham. Ada la lebih kurang 400 orang termasuk Pak Arab dan Mak Arab (bising betul Mak Arab ni, time khutbah pun depa tak berhenti cakap.....). Habis sembahyang, kalau kat kampung aku makan ketupat,lemang, rendang dan kuih-kuih raya atau ada rumah jamu satay atau lontong. Kat sini lepas sembahyang makan biskut arab, buah pisang dan jugak manisan dari Arab. Pastu keluarga Melayu semua sibuk ambik gambar. Kat Durham ni, Presiden Persatuan Muslim orang Malaysia, Ustaz Maslee namanya. Hebat orangnya.

Separuh acara aku balik rumah. Jam 3 kami ke Keenan House untuk sambutan Hari Raya orang Melayu Durham. Yang ni baru terasa meriahnya. Ada macam-macam makanan (pot-luck), bini aku buat agar-agar buah special, namanya "agar-agar pencen". Acara hari ni semua yang berkaitan dengan racun, kotak beracun,bola beracun dan juga sapu tangan beracun. Meriah jugak dan ada gak yang dari Dubai pun datang nak sambut raya kat Durham. Dekat jam 7 malam baru semua selesai. Terlentok aku kekenyangan.....Balik rumah ambik gambar keluarga guna "auto snap" sebab kat sini raya pertama orang tak berjalan pun ke rumah orang lain.

Hari berikutnya isnin, Amin ke sekolah sebab sekolah tak bagi cuti pun. Rupanya kat sini kalau raya mak bapak bagi cuti sendiri kat anak-anak, ikut suka la sehari ke, dua hari ke. Hari-hari berikutnya bermulalah open house. Dari rumah ke rumah, tiap sabtu ahad tak berhenti. Pagi rumah lain petang rumah lain. Best la jugak boleh jumpa ramai kawan-kawan baru. Semalam Khairizam buat aqiqah anak barunya, dia tempah katering dari Newcastle, buat sup kambing dan nasi merah berlauk masalla kambing, sungguh menyelerakan. Aku makan macam dah 3 tahun tak balik Malaysia. Undergrad dari Newcastle pun ramai yang datang.....banyaknya geng usrah ler...

Ada call mak, masih tak sihat lagi. Aziz nak bawak balik ke HUKM minggu depan. Doa ku moga mak akan sihat sejahtera seperti biasa. Telefon rumah baru kat Steavenson Street pun aku dah pasang. Kat sini kena banyak sabarrrrrrrrrr. Ada ka patut nak masuk line phone aku kena bagi maklumat dekat 20 minit kat service provider (O2). Dia minta satu maklumat, dia biar aku tunggu kat phone 3 minit, pastu dia minta info lain lagi. Aku kata kat bini aku, kalau kat Malaysia ni dah lama aku komplen. Dah la slang dia pekat nak mampus, punya la susah aku nak faham. Buat keluarga di Matang Kerian, Selamat Hari Raya Aidilfitri 2009 dari kami yang jauh di perantauan, kalau makan laksami campur laksa tu, ingat-ingat la kami ni.....isk.., sentimental la pulak dah tua-tua nie. Bini aku kata, "bang, biar umur tua tapi hati mau muda, kata orang putih young at heart"....... isk betul ker bini aku cakap camtu?.....

Saturday, September 19, 2009

Hari Terakhir Ramadan 2009.....


Navigator ni banyak bantu aku, kalau tak mesti sesat barat dah....

Tempat beli ikan kat Fish Quay, Sunderland



Macam bot pukat rimau kat Pantai Remis jer...

HMS Ocean Frigate...

Ikan yang dibeli....

Kedai cina jual barangan Malaysia di Newcastle

Stadium St. James Park, Newcastle...siap ada Cafe Alan Shearer

Bandar Newcastle

Orang Kelantan kata Bandar Kota Bahru (terjemahan Newcastle)



Kincir angin kat Washington

Tak mampu ke USA, kat UK pun jadi la....

Senyum kak senyum......

Hari ni hari terakhir puasa. Malam ni pastinya seperti malam-malam tahun dahulu, pasti berdentum-dentam mercun anak-anak buah dan sepupu sepapat main bawah pokok mangga kat depan rumah ayah. Kat sini usahkan bunyi mercun.......bunyi cengkerik pun susah nak dengar. Jam 11 pagi bawa semua pergi Fish Quay kat Sunderland untuk beli ikan segar. Beli seekor ikan Salmon (GBP8.00), udang besar sekilo (GBP10.50) dan ikan sardin serta ikan sebelah. Ikan sardin ngan ikan sebelah tu murah aje. Kalau kat kampung aku, ikan sebelah tu aku pandang sebelah mata jer, kat sini ikan sebelah pun nampak menyelerakan. Dari situ pi tengok kapal perang HMS Ocean yang parking area situ, mak oi besarnya kapal perang dia....dalam 4 kali ganda KD Mahawangsa.

Dari Sunderland terus ke Newcastle (baru berani sebab insuran kereta dah ada), dalam 40 minit rasanya. Cantik pemandangan sepanjang jalan tapi tak boleh berenti nak ambik gambar. Sini pelik sikit, ada ka highway takde lorong kecemasan, apa la. Pergi kedai Wing Hong untuk beli bahan-bahan dari Malaysia tapi yang banyaknya bahan dari Siam jer. Habis dalam GBP70 dan pastu round-round Bandar Newcastle. Besar juga bandarnya dan kalau bandingkan dengan Durham macam Pantai Remis dengan Ipoh ler kot. Bangunan pun tinggi-tinggi dan cantik-cantik. Hari ni ada lawan bola kat stadium, mak oiiii betul la depa ni gila bola, semua pakai baju belang putih hitam, macam sambut merdeka punya la ramai. Cari laksa kat Cash & Carry tapi tak jumpa pun laksa Cap Cabai tu, tapi kat Wing Hong tadi bini aku ada beli laksa Siam. Balik rumah bini aku buat laksa untuk bukak puasa guna ikan tuna tin, maklumlah stok daun cendehom ngan stok bunga kantan banyak lagi, Pak Aji pulak baru beli. Tak sangka laksa Siam tu rupanya rasa macam laksami kuning kat kampung aku tu. Aku makan 3 pinggan hari ni, lepas geram, tengah malam pun aku belasah lagi.

Malam ni bini ngan anak-anak aku dah pandai tengok TV3 dengan laptop aku. Anak-anak dok tengok Bionik ngan Papaya, bini aku apa lagi Nur Kasih la. Tunggu jam 1 pagi sebab bini aku telefon kampung ucap selamat hari raya kat mak ayah dll, aku tengok bergenang ayer mata dia....iskkkk...iskkkk, syahdu oooooooo....maklumlah aku dah 37 tahun raya kat Kampung, bini aku dah 34 tahun. Ada la terasa gak...... kepada semua kawan-kawan dia kat Pencen tu dia ucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin, kalau panjang umur jumpa lagi.........
(dia nak pi buang ayer mata la tue....hehehhe, ambik habuan....)

Friday, September 11, 2009

Setelah dua minggu....




Falsafah dia "one carboot one toy" ...pening kepala aku

Walau tak seindah Teluk Senangin, boleh la kalau nak lepas gian...

Bini aku pun dah pandai shopping kat carboot.....dah mula nak buat koleksi peribadi la tu....

Ronda-ronda kat Sunderland

Carboot kat Seaham....

Sekitar Durham City

Hari pertama anak-anak kesekolah...

Aku dah mula kenal jalan-jalan kat Durham, dah tau kat mana carboot-carboot, dah tau sikit-sikit budaya kat sini, dah tau camner guna bas, dah tau camner nak ke Tesco etc. Sebabnya? aku belasah jer guna kereta yang aku beli tu walaupun belum ada insuran dan satu lagi aku beli satu navigator jenama Garmin kat e-bay, harga 54 pound. Senang jer, masukkan poskod pastu ikut jer arahannya.Cuma nak ke masjid sembahyang jumaat hari ni jer sesat sikit. Kat sini lain sikit ngan kat London, sini orangnya berbudi bahasa sampaikan kat drebar bas pun kena cakap terima kasih, minta apa-apa semua kena kata pleaseeeeee.....Letih la si drebar tu nak menjawap kalau kerja pagi sampai petang. si Cami pun sampai terikut-ikut, minta mak dia buat susu pun dia kata pleaseeeeee....

Anak-anak dah sekolah. Sekolah mula jam 9.00 pagi sampai 3 petang, rehat dua kali. Pakai baju t-shirt jer dengan jumper merah kat luar. Along masuk tahun 6, Bowburn Junior School. Dia pergi balik jalan kaki jer sebab tak jauh pun, dalam 5 minit dari rumah. Sekarang dia masih nak sesuaikan diri dan pihak Durham County ada sediakan seorang kaunselor pendidikan untuk monitor dia. Si Angah masuk tahun dua dan si Cami kelas reception kat Bowburn Infant School. Dia seronok sangat ke sekolah sebab takder apa pun asyik main jer. Hari-hari dia kata dia main tanah liat, pasir dan macam-macam mainan. Setakat ni ayat yang dia tau...."teacher, i want to pee....". Tiap pagi asyik nak pi sekolah jer.....Si Angah pulak kata "ayah boleh tak Angah nak duduk sini 10 tahun....." melampau betul depa ni.

Hujung minggu jer kami ke carboot. Yang paling besar setakat ni kat Seaham, Sunderland iaitu dalam 30 minit dari rumah. Paling tak tahan ngan Cami sebab dia rambang mata sedangkan syaratnya aku tetapkan satu mainan jer. Dia jumpa yang berkenan dia nak, pastu jalan lagi jumpa yang lagi canggih dia mula nak buang yang dah beli tu, pening aku. Kat Seaham ni ada pantai tapi sejuk sikit la, walau tak secantik Teluk Senangin tapi boleh la jugak. Kelas ada dua minggu lagi, kena buat paper dan kena bentang. Bini aku dok masak sedap-sedap tiap hari berbuka, jadinya aku masih dok rasa macam duduk kat Desa Pinggiran Putra lagi. Ikan mahal sini, ayam murah la. Dua ekor saiz XXL baru 10 pound, tapi jangan la convert ngan duit Malaysia, takut tak sampai hati nak telan...........

Tuesday, September 1, 2009

Perjuangan bermula.....


Terima kasih buat yang menghantar kat KLIA - sebelah aku, sedih mak takde. Masih kat HUKM

Sebelah bini aku...

Dalam Business Class MAS waktu tiba di Schipol, Amsterdam

Tunggu 4 jam kat Schipol untuk transit

Walau dimana berada silat Melayu takkan kelupakan......letih aku mengejar dia

Tiba dibumi UK (Newcastle Airport)

Kereta baru aku UK475 jer.....

Inilah rumah sewa kami....

Jet-lag....3 hari berturut-turut lepas maghrib jer semua terlentok...

Naik flight dari KLIA jam 11.55 malam, masuk balai berlepas 2 jam sebelum tu dan makan-makan dulu kat MAS Golden Lounge. Tiba di Schipol Airport, Amsterdam jam 6.25 pagi waktu Amsterdam untuk transit selama 4 jam. Dari Schipol Airport ke Newcastle Airport UK naik KLM City Hooper jam 12.30 dan tiba lebih kurang jam 1.45. Alhamdulillah semua barang ada dan tak kena check pun. Lega.

Penghulu Durham, Helmi bersama Halil dan Yusran datang ambil dengan dua kereta dan terus ke rumah transit kami di no.3, Burn Street, Bowburn Durham UK. Besar gak rumahnya, 3 bilik kat atas dan fully furnised. Tak puasa hari ini, musafir tapi diaorang ajak buka puasa rumah Penghulu kat Wylam Street. Anak-anak semua terkulai, maklumlah kalau 8 malam waktu sini, lebih kurang 3 pagi waktu Malaysia. Hari berikutnya ramai yang ajak berbuka seperti kat rumah Ustaz Maslee, rumah Amir Ngah dan juga majlis berbuka warga Durham kat Keenan House. Mesra sungguh sambutan yang kami terima. Hari ke-3 disini disini aku pergi beli kereta Nisaan Almeera tahun 1997 harga UK475.00. Gear manual dan insuran pun tak ada lagi, aku main belasah jer dulu bawa keluarga round-round sampai Sunderland. Cantik tempat ni, banyak ladang gandum. Kambing biri-biri ngan kuda merata-rata dan si Cami cukup suka tengok.

Pergi car boot dengan Najib dan Zulkhairi untuk beli baby seat Cami dan booster untuk Angah. Hari isnin pulak Zarina dan suami bawak keluarga aku ke car boot di Chester Le St. dan beli macam-macam termasuk bagi sejuk. Yang paling seronok sure Cami sebab mainan bersepah dan murah lak tu. Baju sejuk 10 pence saja sehelai, lebih kurang 60 sen duit Malaysia. Aku ingat rakyat marhain jer pegi car boot, rupanya Mat Saleh pun ramai. Negro dan Pakistan sangat kurang di Durham, so bersih jer tempat ni dan tiada pun kes jenayah.

Semalam (1 September 2009) mula kelas pertama. Naik kereta ke school dan pinjam navigator Najib. Parking kena lima pound. Mak oiiii mahalnya, esok cadang nak naik bas jer sebab free untuk Durham University students. Anak-anak dok habis masa main PS2, sekolah mula 7 September 2009. Cuaca kat luar dah mula nak sejuk, suhu dalam 14-16 darjah selsius. Yang tak tahan tu anginnya, bila kena sejukkkkkkkk.....

Wednesday, June 17, 2009

Mereka yang tinggal


Toksu - Kurang sihat - lelah. Toksu perempuan dibelakang - pun kurang sihat (bisul dikaki)


Toktam perempuan - Pakar buat kuih tepung talam dan cucur udang. Tiap kali aku balik kampung masti dia buat kuih-kuih tu untuk aku


Toktam lelaki - okay lagi, masih boleh naik motor ke kedai kopi Maideen


Kurang sihat - jantung dan kaki cedera sebab kemalangan basikal (pakai tongkat)

Catatan ini berkaitan dengan asal usul keturunanku. Tujuannya supaya kelak pabila dewasa nanti anak-anakku tahu akan lipatan sejarah keluarga sebelah ayahnya.

Menurut cerita ayah, moyang lelaki kami berasal dari Pagar Ruyung, Minangkabau bernama Tok Khatib Abdullah yang merantau bersama keluarganya dan tiba di Sungai Bakau, Bagan Tiang Pulau Pinang. Beliau merupakan guru agama dan telah mendirikan sebuah masjid di Sungai Bakau yang masih kekal hingga hari ini. Salah seorang anak Tok Khatib Abdullah bernama Ahmad dan salah seorang anak kepada Ahmad bernama Budin atau Tok Budin (generasi pertama). Tok Budin telah ditakdirkan Allah bertemu dan berkahwin dengan Zainah atau Tok Denah. Tok Denah ini pula berketurunan dari Selatan Thailand yang mana ayahnya bernama Tok Gergasi (hehehehe....keturunan musuh Ultraman rupanya aku ni, patut la Cami suka sangat cerita Ultraman)

Tok Budin dan Tok Denah telah melahirkan enam orang anak (5 lelaki seorang perempuan) iaitu Ismail (Tokngah), Rodiah (Tok), Lazim (Wan), Mat Rose (Toktih), Ishak (Tok Tam) dan Ahmad (Toksu). Keenam-enam mereka ini merupakan generasi ke-2 keturunan aku. Akibat keperitan hidup di Sungai Bakau, maka Tok Budin dan Tok Denah pun merantau dan tibalah di Kampung Matang Kerian, Pantai Remis Perak dan meneroka sekeping tanah yang merupakan tapak rumah ayah ketika ini. Tanah sekeping ini kemudiannya dibahagikan kepada 6 bahagian tapak rumah untuk keenam-enam anak Tok Budin tersebut dan tinggallah mereka disitu yang melahirkan pula generasi pewaris seterusnya. Tok Budin bekerja sebagai pelaut (nelayan) dan pekerjaan ini kemudiannya diwarisi kelima-lima anak lelakinya diatas (ada masa akan kuceritakan sejarah hidup mereka sebagai nelayan...)

Masa berlalu detik terus berputar, roda kehidupan terus berjalan........
Lazim atau Wan kemudiannya berkahwin dengan Rafeah (mak kepada mak aku)dan dapat dua anak perempuan iaitu Hazziah dan Salmiah (generasi ke-3). Hazziah meninggal sewaktu kecil dan untuk memudahkan urusan Wan ambil surat beranak Hazziah yang meninggal tu dan gunakan sebagai surat beranak mak aku. Makanya nama mak aku dalam kad pengenalan adalah Hazziah (nama kakaknya) walaupun nama sebenarnya Salmiah. Tarikh lahir sebenar mak pun tiada siapa yang tahu sampai hari ini.

Satu-satunya anak perempuan Tok Budin dan Tok Denah iaitu Rodiah telah berkahwin dengan Saad dan dapat dua anak iaitu ayah aku dan Makngah Che'ah (generasi ke-3). Sewaktu kecil lagi mak aku dan ayah aku yang merupakan sepupu (anak kakak dan anak adik) telah ditunangkan dan kerana berkat ketulusan maufakat orang tua-tua berkahwinlah mereka dan berkekalan hingga keakhir hayat dan lahirlah aku kedunia ini bersama-sama 5 adik-beradik yang lain (5 lelaki seorang perempuan)-generasi ke-4.

Sebahagian dari generasi ke-2 telah meninggal iaitu Tokngah(suami isteri), Tok (suami isteri) dan Wan (suami isteri), manakala Toktih masih ada, cuma isterinya saja yang telah meninggal dunia 4 tahun lalu. Yang masih ada semuanya kurang sihat sebab umurpun dah melebihi 70.

Moral cerita buat isteriku:-

i. Generasi ke-2 keturunan suamimu ini 5 lelaki 1 perempuan. Generasi ke-4 juga 5 lelaki 1 perempuan. Jelaslah, keturunan suamimu ini memang banyak lelaki dan kalau Azie nak anak perempuan juga tunggulah anak kita yang ke-6.

ii. Suamimu ini sebenarnya keturunan alim ulamak sebelah lelaki dan keturunan musuh Ultraman sebelah perempuan(ingat!....Ultraman ada 7 orang).

iii. Umur keturunan suamimu ini panjang-panjang juga (lebih 70 tahun), jadi jaga kesihatan Azie supaya bisa menjaga berak kencing suamimu ini di usia senjanya.

diatas ini adalah gambar-gambar mereka yang masih tinggal.......semoga Allah memberkati hidup mereka.

Friday, June 12, 2009

Hari bersunat


Sebelum naik kereta keklinik.....muka dah saspen


tempoh berpantang....


Along mandi bunga....

Sebelum....
Sempena cuti sekolah baru-baru ni pada 30 Mei 2009 (hari pertama cuti sekolah) bawak Along dan Angah ke Klinik Sulaiman di Temerloh untuk disunatkan. Temujanji dah buat dengan Dr. Halim. Ayah Mertua (Wan) dan Mak Mertua (Tok) ikut sekali. Bini aku tinggal dirumah dan dok siap sedia dengan tali rapia untuk gantung kain diaorang lepas sunat nanti.

Hampir...
Sampai ke klinik aku tengok muka Along ngan Angah dah tak berseri lagi. Nak senyum pun dah tak boleh. Tunggu kat luar bilik doktor dan terdengar ada suara budak menangis. Pastu keluar seorang budak lelaki yang dah disunatkan. Then....."Ammar Safwan!!!....nurse panggil". Aku pun ajak dia masuk......"Along dulu....." katanya. Hampir 2-3 minit diaorang dok bertolak-tolak siapa dulu. Last-last Along masuk dengan muka yang begitu saspen.

Semasa....
Dekat 5 minit untuk tenangkan Along dan akhirmya proses berjalan. Sepanjang proses mulutnya tak berhenti cakap "ayahhhhhhhh.....". Pastu time jahit "sakittttttt.....tak sudah lagi ker". Iskkkk..apa la budak-budak ni, tak macho langsung, aku dulu siap pi duduk sendiri atas batang pisang. Along dah selesai.....dan keluar bilik berkain pelikat dan dengan mata yang masih berkaca.....

Giliran Angah....
"Angah dah tahu!! mama tipu....mama kata tak sakit, sebenarnya sakit...Angah dah dengar Along menangis tadi....Angah taknak sunat!!!!. Itulah ayat pertama si Angah sebaik aku keluar dari bilik doktor. Proses memujuk berjalan, jampi serapah warisan moyang aku hembus diubun-ubunnya. Angah setuju masuk......sekali lagi dia takmau tanggal seluar pulak pastu dia interbiu doktor tu. "Kenapa nak sunat?.....sunat guna apa?...sakit tak? dan macam-macam dia tanya. Last-last bila nak rebahkan dia maka...............Takkkkkkkk nakkkkkkkkkkkkk!!!!!! dia jerit sekuat hati. Pastu dia muntah sampai busuk bilik doktor tu. Punya la kuat dia meronta sampai aku ngan Wan dia tak boleh nak telentangkan. 5 minit berlalu....pujuk, pegang, jampi dibalas dengan mengamuk, meronta, menjerit....last-last doktor tu kata, kalau buat jugak dia takut trauma, makanya tak jadilah Angah bersunat. Tapi dia pakai kain pelikat jugak sebab seluar dan bajunya habis kena muntah.

hehehehe....tipu yerrrrrrr

Sampai rumah.....
Wan angkat Angah yang berkain pelikat seperti orang bersunat ke tempat berbaring dirumah pastu Wan ikat tali kat kainnya (Angah sorok muka dia dalam kain sebab malu dan tension aku dok berleter). Bini aku dok heran kenapa Angah tak menangis dan sekali tu dia gelak jer sedangkan Along masih berkaca matanya. last-last dia selak kain Angah dan jeng...jeng...jeng....tergelak besarlah semua orang. Petang hari ini dan hari-hari berikutnya ramailah penduduk Blok 18, Felda Lakum datang melawat dan setiap kali cerita Angah diulang-ulang. Yang geramnya bila Along menrungut sakit dia siap kata....."Ala..Along ni, itupun sakit. Kan dah besar! tahan la sikit...". Pastu bila orang bagi duit kat Along dia pun mengamuk nak duit jugak padahal tak bersunat pun.

Sekarang ni aku langsung tak boleh cerita kisah Angah pada orang lain depan dia sebab dia akan menangis dan kata "ayah ni asyik malukan Angah jer....citer Angah nangis la....". Kesian pulak rasanya, akupun dulu darjah 3 baru sunat, dia baru darjah satu. Semalam panjat bukit kat Taman Warisan ambik daun jambu batu dan rebus dan siram airnya pada anu si Along bagi cepat hilang bengkak. Sekarang dia dah boleh berlari pun.......