Monday, April 20, 2009

Paip makan dan minum Wan




Buat anak-anakku. Gambar paip makan ini adalah paip sebenar yang digunakan oleh Wan selama 17 tahun sejak diserang strok pada 6 September 1988 ketika ayah masih ditingkatan empat di Sek. Men. Clifford Kuala Kangsar, Perak. Ayah cuti sebulan untuk jaga Wan di Hospital Taiping. Wan tidak boleh menelan seperti biasa selepas kena strok itu hatta menelan air ludah pun tidak boleh kerana mekanisma menelannya telah lumpuh. Selama 17 tahun itulah sehingga Wan kembali ke rahmahtullah pada tanggal 24 November 2005 ketika berusia 64 tahun (lahir pada 6 March 1941), Wan menggunakan paip seperti ini untuk menyambung kehidupan. Mula-mula Wan akan masukkan paip getah menerusi mulutnya hingga ke perut. Kemudian, Tok akan masukkan nasi yang telah diblender dgn daging, sayur dll ke dalam kelongsong paip dan menekan hingga habis. Sekali makan satu kole. Biasanya Wan akan makan 3 kali sehari. Nestum waktu pagi, nasi pada tengahari dan malam. Semua urusan menyediakan makanannya Wan akan uruskan sendiri daripada potong sayur dan daging, masak, blender dll. Cuma makannya sahaja Tok tolong pamkan. Kadangkala waktu Tok tiada, Wan akan pamkan sendiri makanannya. Bolehkan kalian bayangkan pengorbanan Tok membela Wan selama 17 tahun?. Bolehkan kalian bayangkan penderitaan Wan selama tempoh itu terutamanya mengawal keinginan apabila melihat orang lain makan dengan mulut sedangkan dia tak mampu merasa kenikmatan makanan dan tiba-tiba terus rasa kenyang?. Bolehkah kalian bayangkan kehidupan dimana Wan perlu membawa bekas ludahnya kemana-mana untuk meludah selama 17 tahun?

Anak-anakku,
Ayah banyak bercerita tentang Wan sepanjang kalian membesar. Tahukah kalian kenapa manusia ini sangat istimewa dan terlalu dekat dihati ayah?. Kalian perlu tahu bahawa inilah manusia yang tidak pernah merungut walau sekali terhadap sakit yang ditanggungnya. Inilah manusia yang sangat tabah dan reda dengan segala pemberianNya. Inilah manusia yang paling banyak memberikan nasihat dan semangat untuk ayah dan adik beradik ayah hingga kami berjaya seperti hari ini.

Sewaktu Wan mula sakit, hanya Paklong (Ayah Abang Awie) yang bekerja di kilang sawit dan pergi ke laut (nelayan) untuk bantu keluarga. Ayah dan Pakngah Amran, Maknjang (ummi Sirhan) masih belajar. Wanlah yang suruh kami terus belajar, Wan juga yang tolong mohon biasiswa OCBC Bank hingga ayah dapat belajar di UKM selama 4 tahun. Walaupun Wan tak boleh menelan macam biasa, tapi Wan boleh bercakap dan boleh berjalan sikit-sikit. Banyak kerja tangan yang Wan buat dirumah Wan, replika raksaksa, kolam ikan, bangku simen dan macam-macam lagi.

Anak-anakku,
Sepanjang 17 tahun itu, ayah cuba tunaikan sebanyak mungkin hajat Wan. Ayah bawa Wan keliling Semenanjung Malaysia ini untuk jumpa kawan-kawan lamanya sewaktu belajar di Maktab Perguruan Sultan Idris (sekarang UPSI). Wan dulu pernah jadi guru sekejap (2 tahun) sebelum buat macam-macam kerja hingga akhirnya jadi nelayan. Wan pula akan pergi kemana sahaja anak-anaknya bawa sama ada pergi berkelah, melancong dan sebagainya. Ayah tak pernah membantah/memprotes Wan sepanjang hidup ayah dan ayah sangat hormati dan sayangi Wan. Cuma satu yang ayah rasa terkilan, ayah terlalu malu untuk cium pipinya sewaktu dia masih hidup. Sekarang jika kalian perasan, ayah akan cium pipi Tok setiap kali berjumpa kerana ayah enggan terkilan lagi. Bagaimanapun ayah berpuashati kerana ayah rasa semua hajat Wan ayah telah makbulkan dan ayah tahu, Wan juga sangat sayangkan ayah. Banyak coretan di dalam diari Wan berceritakan tentang alam ini dan banyak nama ayah didalamnya. Moga Wan ditempatkan bersama orang-orang yang mendapat keredaanNya dan ayah ingin sekali bertemunya dengannya diakhirat kelak.



Bersihkan kubur Wan semasa balik kampung dengan Along, Angah dan adik Aziz

No comments: